Kes GISBH: Tiada cadangan tubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja

Kementerian Dalam Negeri tidak bercadang untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja dalam kes Global Ikhwan Services and Business Holdings Sdn Bhd (GISBH), kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

“Ini kerana pihak polis perlu diberi ruang dan kepercayaan yang tinggi memandangkan siasatan dan operasi oleh PDRM masih berjalan untuk mengesan saki baki pengikut kelompok ini,” kata Saifuddin dalam satu jawapan bertulis.

“PDRM juga sedang membuat pemantauan terhadap kegiatan GISBH di luar negara. Sekiranya terdapat kesalahan dari sudut undang-undang, tindakan akan diambil melalui Mutual Legal Assistance dan Akta Bantuan Bersama Perkara Jenayah (MACMA).

“Tiada sebarang bukti kukuh yang boleh mengaitkan pegawai kerajaan atau pemimpin politik terlibat atau bersubahat dengan GISBH.

Pada masa sama Saifuddin menyatakan bahawa kementeriannya tidak menolak sebarang kemungkinan kerana siasatan PDRM masih diteruskan.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada Lim Lip Eng yang bertanya berhubung keperluan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja dalam kes GISBH.

Lim turut membangkitkan kemungkinan pegawai kerajaan atau pemimpin politik terlibat atau bersubahat dengan GISBH.

BACA JUGA: Menteri dedah ada orang cuba intai pusat perlindungan tempatkan kanak-kanak GISBH

Â