Menteri Indonesia kata ada 3 sebab kenapa pelabur berpusu-pusu ke Malaysia

Kesungguhan Malaysia mengikat pelabur-pelabur asing terus menjadi perhatian negara serantau sehingga perubahan yang dilakukan negara ini dijadikan sebagai contoh.

Seorang menteri Indonesia menyatakan terdapat tiga sebab mengapa pelabur asing tidak memilih Indonesia untuk pelaburan dalam sektor pusat data. 

Biarpun republik itu mempunyai kependudukan yang tinggi berbanding Malaysia yang seharusnya memajukan lagi pembinaan pusat data, namun mereka berpendapat ada tiga hal yang tidak dilakukan Indonesia seperti mana negara ini.

Portal detikinet melaporkan, Malaysia menawarkan tiga faktor utama yang menarik minat syarikat asing untuk melabur, iaitu kos elektrik, pengecualian cukai, dan kepastian undang-undang.

Menurut anggaran Maybank, pelaburan pusat data di Johor yang boleh digunakan untuk AI dan pengkomputeran awan dijangka mencapai AS$3.8 bilion pada tahun ini. 

“Listrik (elektrik) mereka 8 sen setiap kWh, mereka bebas cukai untuk barang modal, dan yang ketiga adalah kepastian hukum dalam pelaburan,” kata Menteri Komunikasi dan Informatika Indonesia, Budi Arie Setiadi di Jakarta baru-baru ini.

Budi menekankan bahawa Indonesia perlu berusaha untuk memudahkan iklim pelaburan asing dan tidak kelihatan seolah-olah menyulitkan mereka yang berminat untuk melabur. 

Salah satu langkah yang disarankan adalah menurunkan harga elektrik untuk pusat data. 

Budi berkata, ketiga-tiga komponen tersebut perlu diikuti atau bahkan lebih baik dari Malaysia. 

“Kalau tiga itu bisa kita deliver harusnya bisa lebih kompetitif Indonesia,” katanya

Beliau menekankan, Google dan pelabur lain tidak melabur di Indonesia bukan karena kebocoran data yang kerap terjadi, tetapi memang setelah dikaji, tiga faktor itu yang mempengaruhinya.

BACA JUGA Anggota GISBH takkan sertai program pemulihan MKN? Kenapa pula dah?