Menteri: Kematian doktor kerana buli di Pulau Pinang akan disiasat

Satu lagi kes kematian doktor perubatan di Hospital Seberang Jaya, Pulau Pinang yang didakwa kerana buli akan turut disiasat oleh Kementerian Kesihatan.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad mengesahkan bahawa siasatan dalam sedang dijalankan sejurus selepas aduan kes tersebut diterima.

Beliau turut menafikan dakwaan bahawa kementeriannya lewat mengambil tindakan.

“Saya maklum ada pihak mendakwa KKM lewat mengambil tindakan bagi membendung kes buli dalam kalangan pengamal perubatan, tetapi kementerian sebenarnya terus membuat siasatan dalaman sejurus menerima aduan, sama seperti dilakukan pada 2018.

“Ini termasuk kes yang tidak diketahui Yang Berhormat di mana ada kes kematian di Hospital Seberang Jaya, dikatakan akibat dibuli dan saya sedang menunggu dapatan daripada siasatan dalaman yang dilakukan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi (PN-Kuala Langat) semasa sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat.

BACA JUGA: Suruhanjaya siasatan bebas yang siasat kes Dr Tay peroleh tambahan tiga bulan siasat semua kes buli

Â