Apa sebenarnya berlaku di Jabalia?

Seorang pemberita Palestin menceritakan keadaan semasa apa yang sedang berlaku di Jabalia iaitu wilayah utara Gaza pada masa ini.

Motasem A Dalloul menerusi hantaran di platform X memberitahu pendudukan rejim Israel memaksa pelarian meninggalkan tempat perlindungan masing-masing.

“Mereka (Israel) mengosongkannya secara paksa — ramai yang terbunuh semasa pemindahan.

“Mereka menculik lelaki dan mengarahkan wanita dan kanak-kanak bergerak ke selatan,” ujarnya.

Selain itu, jelasnya, pengganas Israel kemudiannya membakar tempat perlindungan untuk memastikan pelarian tidak akan kembali ke sana.

“Orang yang tinggal di rumah mereka dibom dan dibunuh di mana mereka berada.

“Tiada paramedik atau sukarelawan dibenarkan mendekati mereka untuk mendapatkan bantuan!

“Hospital dibom dan dimusnahkan mengakibatkan jumlah kematian tertinggi!

“Ia adalah strim langsung pembersihan etnik!” tegas Motasem berkongsikan rakaman dron daripada pihak Israel yang menunjukkan perpindahan sekumpulan besar penduduk di Jabalia.

Rejim pengganas Israel terus melancarkan serangan besar-besaran yang kini memasuki hari ke-17 di utara Gaza, sambil mengenakan kepungan ketat di wilayah berkenaan.

Penderitaan penduduk Gaza yang kehilangan tempat tinggal semakin bertambah dengan masalah kekurangan bekalan makanan, air bersih, dan ubat-ubatan.

Hospital Kamal Adwan di Beit Lahia, Gaza Utara yang sebelum ini sudah beberapa kali dibom sekali lagi diserang pada 19 Oktober lalu.

Sementara itu, Timbalan Jurucakap PBB, Farhan Haq dilapor berkata, hampir tiada bantuan kemanusiaan yang tiba di kem pelarian Jabalia.

Dalam masa sama, komunikasi di kawasan terbabit sangat terganggu sekaligus menyukarkan orang awam mendapatkan bantuan ketika serangan udara dan pengeboman Israel berterusan di utara Gaza.

BACA JUGA Tular komander Briged Berperisai Israel mati, rupanya Hamas kitar semula bom tidak meletup