Pegawai MB Kedah dakwa individu buat laporan terhadapnya ada agenda lain

Pegawai khas kepada Menteri Besar Kedah, Salmy Anas Ahmad mendakwa individu yang membuat laporan polis terhadapnya mempunyai motif lain yang tidak diketahui.

Ini kerana katanya, individu tersebut bukanlah orang yang dilihat berbalah dengannya dalam satu video tular di media sosial.

Sebaliknya kata beliau, laporan polis itu dibuat oleh orang yang tiada kena-mengena dengan kejadian itu.

“Saya difahamkan orang yang buat laporan polis itu masih belum tarik laporan dan disebabkan itu, saya juga tidak menarik laporan yang dibuat semalam. Saya serahkan kepada pihak berkuasa untuk melakukan siasatan.

“Saya rasa ada motif lain di sebalik isu ditimbulkan ini tetapi saya serahkan segalanya kepada Allah,” katanya memetik Utusan Malaysia.

Sementara itu Salmy berkata dia sudah pun berbaik dengan peniaga yang terlibat dalam pertikaian lidah dengannya.

Kata Salmy, dia dan peniaga itu sudah mengenali satu sama lain lebih setahun lalu dan hubungan dengan mereka dianggap seperti keluarga.

Dia juga telah bertemu dengan peniaga tersebut di sebuah warung kira-kira 11 malam tadi sebelum saling bersalaman.

BACA JUGA Dakwaan kasari peniaga, polis buka dua kertas siasatan terhadap pegawai MB Kedah