‘Beradablah sikit isteri orang tu’, ramai terkejut lihat perangai MP PN ini

Tular petikan kenyataan seorang wakil rakyat Perikatan Nasional (PN) terhadap Menteri Fadhlina Sidek semasa persidangan Dewan Rakyat baru-baru ini.

Rata-rata menyifatkan apa yang disebut Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Roslan Hashim itu sebagai tidak selayaknya diucap oleh seorang ‘Yang Berhormat’ terhadap wanita berstatus isteri orang.

Roslan dari Bersatu semasa mesyuarat di Parlimen pada 17 Oktober lalu antara lain menyebut, “Warna baju YB (Fadhlina) sama dengan warna tie (tali leher) saya”.

Selain itu, dia turut berkata,”Saya nak tengok YB Menteri ke YB Speaker?” disusuli dengan gelak-gelak.

Aksi menjengkelkan oleh wakil rakyat pembangkang itu berlaku ketika dia bertanyakan mengapa lima hadis digugurkan daripada Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi.

Fadhlina kemudianya menegaskan bahawa beliau telah menjawab persoalan tersebut sebelum ini.

“(Lima hadis) tak pernah digugurkan, tak pernah. Saya dah jawab dari awal tuan Speaker,” kata beliau di Dewan Rakyat.

Susulan kenyataan yang mungkin dianggap “mengusik” itu, warganet mengecam pemimpin pembangkang berkenaan.

Dalam masa sama, ramai berharap pengundi bermuhasabah sebelum menghantar individu untuk mewakili suara mereka di Parlimen.

“Beradablah sikit. Isteri orang tu,” tegas @DrSharulnizam.

“Ada unsur gangguan seksual tu, dia cuba kaitkan warna baju wanita itu dengan warna tali leher dia. Menjijikkan lawak begitu. Dia ingat kelakar ke, tapi itu gangguan seksual,” ujar pengguna X, @mazlizalmah.

“Takut sangat konon Cina Komunis nak ambil alih. Ok fine, kalau kau percaya. Tapi pilihlah pemimpin yang bijak…”, kata @psikosong.

“… tahap pemikiran pengundi yang beri undi pada dia amat membimbangkan. Disebabkan memilih mengikut sentimen, inilah yang pengundi dapat…,” tulis @dengar_kata pula.

Untuk rekod, Roslan, 57, yang juga dipanggil “Cikgu” merupakan Ketua Bersatu Kulim-Bandar Baharu.

Keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 2022 menyaksikan seramai 34,469 pengundi di kerusi Parlimen Kulim-Bandar Baharu memenangkan Roslan.

Undian itu sekaligus menumbangkan penyandang, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (PH-PKR) yang hanya meraih 21,408 undi.

Ini bermakna, Roslan semasa pertandingan empat penjuru di kerusi P18 itu menang dengan majoriti 13,061 undi.

BACA JUGA Isu waktu masuk keluar hotel: Ini jawapan Menteri Pelancongan