Hampir 10% kanak-kanak yang diselamatkan daripada GISBH telahpun dikembalikan

Hampir sepuluh peratus daripada 560 kanak-kanak yang diselamatkan daripada cengkaman GISBH menerusi Op Global sudahpun dikembalikan kepada ahli keluarga terdekat dan penjaga mereka.

Setakat ini 55 kanak-kanak telah diserahkan kepada keluarga menerusi proses perundangan yang sewajarnya.

“Ketika kita mengambil kanak-kanak ini, kita perlu ada perintah mahkamah dan apabila serahkan semula jagaan juga perlu melalui perintah mahkamah,” kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Nancy Shukri pada sidang media selepas menghadiri Majlis Perasmian Persidangan Penuaan Kebangsaan 2024 (NCA 2024).

Media sebelum ini melaporkan bahawa Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat telah menerima 96 permohonan daripada ibu bapa yang menuntut lebih 200 kanak-kanak yang telah diselamatkan.

Nancy berkata, ketika ini semua permohonan sudah diteliti dan pihaknya dalam proses untuk memohon kepada mahkamah untuk mengembalikan mereka kepada ibu bapa.

Katanya, apa yang kementerian lakukan adalah menjalankan penelitian dulu kerana ada banyak kemungkinan.

“Mungkin ada kes yang betul tapi ada juga anak-anak itu tidak pernah melihat ibu mereka,” katanya.

Nancy berkata, sebelum ini, satu video tular di media sosial pasangan ibu bapa mendakwa empat kanak-kanak yang diambil JKM adalah anak mereka.

“Saya ingin tegaskan JKM bukan mengambil anak orang, kerja kita adalah melindungi dan menyelamatkan mereka.

“Kes itu sudah selesai dan polis mendapati kurang bukti dan meminta JKM menyerahkan kanak-kanak terbabit di bawah penjagaan adik perempuan bapa kanak-kanak itu.

“Kanak-kanak itu sudah diserahkan kepada adik perempuan bapa kanak-kanak berkenaan mengikut peraturan dan perintah mahkamah. Jika ibu bapa kanak-kanak itu ingin mengambil semula anaknya mereka perlu melalui perintah mahkamah berdasarkan laporan JKM,” katanya.

BACA JUGA:Ada anak tidak pernah lihat ibu mereka, 96 permohonan tuntut kanak-kanak GISBH

Â