Jambatan Darat Chumpon – Ranong (CRLB): Malaysia tak perlu risau

Malaysia tidak perlu risau berhubung cadangan pembangunan Jambatan Darat Chumpon – Ranong (CRLB) di Thailand kerana dikatakan ia boleh mengurangkan masa perjalanan kapal antara Lautan Hindi dan Pasifik tanpa memasuki Selat Melaka.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata ini kerana Pelabuhan Malaysia mempunyai kelebihan dari sudut kecekapan operasi dan geografi semula jadi.

“Pelabuhan bukan sahaja untuk perdagangan serta ‘transhipment’ (pemindahan barangan) semata-mata, malah sektor perindustrian eksport dan import negara yang kukuh mendorong pelabuhan negara terus menjadi pilihan kapal antarabangsa berlabuh.

“Operator-operator pelabuhan negara perlu lebih berdaya saing, selain keperluan merangka dasar perdagangan yang bebas dan terbuka, bagi memastikan kelebihan pelabuhan negara terus dipertahankan,” katanya selepas merasmikan Persidangan dan Pameran Pelabuhan dan Logistik ASEAN, hari ini.

Beliau turut menegaskan kelebihan yang ada berdasarkan jumlah pelabuhan yang ada di Malaysia sepanjang Selat Melaka.

“Kita ada banyak pelabuhan di Selat Melaka dari Johor sampai ke Pulau Pinang dengan tiga pelabuhan utama iaitu Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), Pelabuhan Klang dan Pelabuhan Pulau Pinang, malah ada beberapa pelabuhan yang dirancang pihak swasta.

“Jadi kita tidak perlu terlalu bimbang dengan persaingan negara lain. Sudah tentu akan ada persaingan, namun kita perlu yakin dengan kelebihan (pelabuhan) kita sendiri.

“Apa yang penting kita perlu terus tingkatkan kecekapan pelabuhan negara kerana kita sudah ada kedudukan geografi semulajadi yang memberikan kelebihan kepada pelabuhan-pelabuhan negara,” katanya.

BACA JUGA: DAP takkan mengemis untuk jawatan dalam kerajaan – Loke

Â