‘Saya tidak sengaja terima wang yang dihantar 1MDB kepada PetroSaudi’, kata kenyataan terbuka Najib
Datuk Seri Najib Razak hari ini tampil mengulas rumusan daripada artikel terbitan The Edge bahawa PetroSaudi dan Jho Low bersekongkol untuk memperdayakan bekas Perdana Menteri itu.
“Saya tidak sedar bahawa PetroSaudi telah mengalihkan dana 1MDB dan saya dengan tidak sengaja menerima wang daripada dana yang telah dihantar oleh IMDB kepada PetroSaudi.
“Walaupun sukar bagi sesetengah pihak untuk memahami, saya telah dinasihati dan dengan jujur mempercayai pada masa itu bahawa dana yang saya terima adalah merupakan sumbangan politik daripada Kerajaan Arab Saudi,” jelasnya.
Kenyataan terbuka Najib itu dibacakan oleh anaknya, Datuk Mohamad Nizar Najib, di lobi Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, petang tadi.
Untuk rekod, Najib mencipta sejarah sebagai bekas Perdana Menteri pertama dipenjarakan selama 12 tahun mulai 23 Ogos 2022 selepas didapati bersalah atas tuduhan kes menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.
Dijadualkan pada 30 Oktober ini sebagai tarikh untuk keputusan sama ada Najib, 71, perlu membela diri atau dibebaskan daripada pertuduhan penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Suami kepada Datin Seri Rosmah Mansor itu berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.
Mengulas lanjut, Najib mengakui memang terdapat dua sumbangan besar yang disahkan pada tahun 2010 diterima daripada Kerajaan Arab Saudi seperti telah ditetapkan dalam prosiding mahkamah.
Walau bagaimanapun, katanya, sumbangan tersebut tidak pernah menjadi subjek dalam mana-mana prosiding jenayah atau sivil.
“Apabila berlakunya kebimbangan dan pelbagai pihak mula mempersoalkan apa yang berlaku di IMDB, saya sepatutnya mengambil tindakan yang berbeza.
“Saya telah mengarahkan pelbagai siasatan dijalankan namun saya cenderung untuk mempercayai penjelasan oleh lembaga pengarah dan pihak pengurusan IMDB.
“Apabila saya mula curiga tentang apa yang sebenarnya berlaku di IMDB, kebimbangan utama saya adalah kepada kedudukan dan risiko yang ditimbulkannya terhadap hubungan diplomatik dan dua hala di peringkat tertinggi,” kata Najib lagi.
Najib yang sudah menjalani hukuman penjara selama 26 bulan itu berkata, dia telah pun dihukum atas tanggungjawab yang telah dipikulnya walaupun dengan jelas beliau bukanlah dalang kepada skandal 1MDB.
Turut menegaskan dirinya tidak pernah sekalipun bersekongkol dengan Jho Low, Najib berkata, dia tidak sepatutnya menjadi mangsa dari segi undang-undang.
“Saya masih lagi terkejut dengan mendalam apabila mengetahui kini kepincangan, perbuatan yang tidak bermoral dan tidak berperikemanusiaan serta pelanggaran undang-undang yang telah berlaku di 1MDB.
“Saya amat kesal dengan apa yang telah berlaku di SRC dan 1MDB.
“Namun dipertanggungjawabkan secara undang-undang untuk perkara yang saya tidak mulakan atau sengaja benarkan adalah tidak adil kepada saya dan saya berharap serta berdoa agar proses keadilan akan memihak kepada saya dan membuktikan saya tidak bersalah,” katanya menjelang tarikh untuk keputusan sama ada beliau perlu membela diri atau dibebaskan daripada pertuduhan penyelewengan dana 1MDB.
BACA JUGA DBP siar maksud ‘ketimbang’, pembangkang pula alahan ‘menggelupur’
Â