Tular audio WhatsApp ustazah di Kelantan didakwa berpolitik dalam masjid

Seorang penceramah agama di Kelantan didakwa menyampaikan kuliah berbaur menghasut terhadap kaum lain di negara ini ketika berceramah di sebuah masjid baru-baru ini.

Rakaman suara penceramah tersebut beredar di aplikasi WhatsApp sebelum ia dimuat naik di TikTok oleh seorang aktivis politik di Kelantan.

Dalam rakaman itu, penceramah wanita terbabit menuduh kaum Cina banyak mencampuri urusan agama Islam.

“Kita tengok dalam Parlimen, siapa yang banyak kecek la ni, hok mata sepet belaka. MashaAllah. Kita memang tergugat. Pilihan raya ni kalau dia duk minta nak jadi Perdana Menteri, tak tahu gapo lah nak jadi dekat Parlimen kita.

“Nak pergi sembahyang pun tak… nak berjemaah nak berkumpul pun tak boleh muslimat.

“Dia suka mencampur adukkan masalah kita orang Islam. Kita tak cara (kacau) bab dia. Kita tak kata apa pasal dia. Tapi dia suka benar cara bab kita orang Islam ni muslimat,” kata penceramah itu sambil mengajak jemaah untuk berterusan melakukan solat hajat memohon keselamatan negeri dan negara.

Menerusi salinan laporan polis yang dilihat Harapan Daily, penceramah tersebut dikenali sebagai Ustazah Che Limah Mohammad atau Kak Chik. Laporan polis dibuat pada 22 Oktober.

Difahamkan kejadian berlaku ketika penceramah itu menyampaikan kuliah dhuha di Masjid Al-Raudhah, mukim Palekbang.

Dalam laporan tersebut, Ustazah Che Limah didakwa menyampaikan kuliah yang berunsur fitnah dan perkauman antaranya menuduh China akan menyerang Malaysia; dan ahli politik Cina di negara ini mengganggu urusan Islam.

Selain itu, laporan tertulis bahawa penceramah mendakwa cuti Jumaat di Johor yang ditukar kepada Sabtu, Ahad merupakan kehendak Cina dan bukan kehendak Sultan Johor.

Sekolah Cina didakwa menerima bantuan lebih besar dan sekolah Melayu dibiarkan miskin.

Sehingga kini belum ada kemaskini mengenai kes ini dari pihak polis.

BACA JUGA ADUN Pas sewa papan iklan tepi jalan untuk minta sumbangan

Â