Faris nafi semua tuduhan, bakal ambil tindakan undang-undang
Pengurus Besar Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS), Faris Arriffin, menafikan semua tuduhan berkaitan kesalahan tatakelola yang dilemparkan oleh Ahli Jemaah Pengarah (AJP) terhadapnya.
Faris berkata, beliau telah mengambil tindakan undang-undang kepada pihak yang bertanggungjawab menyebarkan tuduhan palsu terhadapnya.
Selain itu laporan polis juga telah dibuat oleh bahagian Komunikasi Korporat NAFAS bagi menafikan kenyataan palsu yang dikeluarkan AJP.
“NAFAS menafikan penglibatan (salah laku) dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh beberapa AJP.
“Pagi ini, saya telah mengeluarkan Surat Tuntutan (LOD) kepada mereka yang bertanggungjawab atas penyebaran tuduhan palsu ini.
“Pasukan guaman saya sedang mengambil langkah-langkah yang sewajarnya bagi melindungi integriti NAFAS dan reputasi profesional saya,” tegasnya dalam satu kenyataan hari ini.
Faris berkata, keputusan Pejabat Pendaftar Peladang bahawa penggantungan beliau tidak boleh dikuatkuasakan kerana tidak mematuhi proses undang-undang membuktikan tuduhan terhadapnya tidak berasas dan tidak wajar.
Terdahulu, tular kenyataan awal dari NAFAS yang mendakwa Faris digantung tugas atas dakwaan kesalahan tatakelola melibatkan salah guna kewangan pertubuhan itu.
Tindakan penggantungan itu didakwa dibuat oleh barisan AJP Nafas yang diketuai Zamri Yaacob selaku pengerusi AJP Nafas, menurut Malaysiakini.
24 jam selepas itu, Zamri menafikan pernah mengeluarkan sebarang kenyataan media berkenaan penggantungan Faris.
Kenyataan Zamri sekali gus menimbulkan persoalan sama ada kenyataan awal benar-benar palsu atau tidak mendapat persetujuan.
Sebelum ini Pendaftar Pertubuhan Peladang dalam kenyataannya menolak keputusan AJP kerana mendakwa penggantungan Faris tidak mengikut perundangan yang ditetapkan.
Di bawah perundangan Pertubuhan Peladang, sebarang aduan atau dakwaan ke atas Pengurus Besar NAFAS hendaklah dirujuk terlebih dahulu kepada Pendaftar sebelum sesuatu keputusan itu boleh dilaksanakan.
Salah seorang AJP, Zamir Ghazali turut mendakwa keputusan menggantung Faris bukan undian sebulat suara .
Beliau mendakwa alasan penggantungan Faris adalah naratif yang direka-reka.
Dalam pada itu Faris menegaskan segala urusan pentadbiran dan pengurusan kewangan di NAFAS sentiasa mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah diluluskan oleh AJP dan diaudit bagi memastikan ketelusan serta akauntabiliti sepenuhnya, selaras dengan Akta Pertubuhan
“Saya kekal komited terhadap agenda reformasi di NAFAS, memastikan organisasi terus berkhidmat kepada komuniti pertanian dengan integriti dan tadbir urus yang kukuh. Saya yakin kebenaran akan terserlah, dan NAFAS akan terus maju ke hadapan dengan bertanggungjawab,” katanya.
BACA JUGA Kempen boikot beri kesan, jualan global Starbucks terus merosot
Â