‘Sakau menyakau’ bukan dia seorang…

Oleh LIYANA MARZUKI

1Malaysia Development Berhad (1MDB), kes kleptokrat paling teruk dalam sejarah dunia (kata Peguam Negara Amerika Syarikat) suatu ketika dulu akan diketahui keputusan minggu depan, 30 Oktober.

Semalam, si OKT buat permohonan maaf kepada rakyat Malaysia. Katanya, dia kesal kes itu berlaku bawah pentadbirannya. Dia tak salah apa. Hanya tersalah guna dana. Tok Arab beri katanya.

Kita tahulah itu scene untuk media. Sebelum mahkamah buat keputusan, court of public opinion, perlu beliau address. Setiap kali kes pun begitu.

Namun, dana berbilion telah dihabiskan. Ada bukti nyata dana ini pergi untuk buat kes Hollywood, mengenai scam juga.

Najib Razak

Ironinya, ditanggung dengan scam duit rakyat Malaysia. Namun, yang dapat nama dan berfoya-foya, anak tirinya.

Konfesi OKT itu, akui 1MDB memang terjadi. Yang salah Jho Low dan Petro Saudi. Dia kena scam sahaja. Janganlah salahkan dia. Dia tak buat apa.

Tapi duitnya keluarga dan partinya merasa. Takkanlah itu semua boleh minta maaf dan tutup mata?

Masa 1MDB meletup, kenapa semuanya ditutup? Peguam Negara ditukarkan, pegawai penyiasat dikacau dan ditangkap. Akhbar yang dedahkan dikatup dan penulis diburu.

Pada saya, kalau tahu kena scam sudah, patut dia suruh polis cari Jho Low ketika itu.
Namun, apa nak buat. Nasi sudah jadi bubur.

Jho Low

Walau dia keluar nanti, kita kena beringat. Pemimpin ini tidak boleh diangkat semula. Kena scam dengan scammer muda, sampai memalukan negara seluruh dunia.

Ya, kita kesian. Kes 1MDB ini dia seorang sahaja yang kena. Namun, itulah dia, risiko jadi pemimpin. You have to take the blame.

Saya bertanya kawan-kawan yang marah kes 1MDB. Benci kepada Najib bukan macam dulu lagi.

Bila dapat tahu ada pula kes Jana Wibawa. Parti Bersatu naik buat dana negara macam harta mak pak dia. Diseleweng duit projek ke dalam akaun parti. Pemimpin-pemimpin muda pun dapat sama.

Bila bekas Menteri Kewangan juga ada kes sama. Harta berbilion enggan isytihar dari mana.

Isterinya pula, fight tidak mahu bayar cukai ratus juta. Terfikir, patutlah mereka kaya raya, tujuh keturunan tak habis punya.

Ada anak-anak bekas PM juga, diminta perkara yang sama. Isytihar harta dan puncanya. Dua orang anak harta berbilion adakah kerana pandai berniaga? Sampai sekarang, tak tahu cerita.

Perkembangan ini buat kita numb. Nampaknya isu “sakau menyakau” bukan Najib seorang.

Selepas ini sekiranya kerajaan bertukar tangan, nescaya yang ada sekarang juga diburu. Dicari kes salah laku.

Makanya kita pun keliru. Antara kes balas dendam sesama mereka, adakah sebenarnya mereka lebih kurang sama?

Reform sebenar, adalah betulkan dunia politik negara kerana politikus arkitek sebenar hala tuju negara kita.

Kita lihat sejauh mana kerajaan ini ikhlas dalam berkata. Tiga tahun bukannya lama.

BACA JUGA Tangguh larangan pamer produk tembakau, vape? Ini penegasan Menteri Kesihatan