Tangguh larangan pamer produk tembakau, vape? Ini penegasan Menteri Kesihatan
Menteri Kesihatan menegaskan kerajaan tidak akan membuat pusingan ‘U’ dalam melaksanakan larangan mempamerkan produk tembakau dan vape di bawah Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852).
Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, pihaknya telah memberi tempoh enam bulan kepada semua pihak berkepentingan khususnya peruncit mengenai perkara tersebut.
“Saya sedia maklum bahawa perkara yang dirakamkan itu ada ketidakpuasan mereka dan sememangnya berhak untuk menyatakan pandangan mereka dalam isu ini.
“Sudah pasti (takkan U turn), sebab kita memberikan satu waktu yang selesa iaitu enam bulan, satu waktu yang selesa sebelum kita laksanakan sepenuhnya,” katanya.
Dr Dzulkefly berkata demikian selepas majlis Sambutan Bulan Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan Peringkat Ibu Pejabat Kementerian Kesihatan Malaysia (IPKKM), di Putrajaya hari ini.
Terdahulu, Persekutuan Persatuan-Persatuan Peniaga-Peniaga Barang-Barang Runcit Malaysia (FSGMAM) meminta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menangguhkan pelaksanaan larangan mempamerkan produk tembakau dan vape sehingga garis panduan yang sesuai dan mekanisme sokongan kewangan dapat diperkenalkan.
Untuk rekod, Akta 852 yang telah diwartakan pada 2 Februari lalu berkuat kuasa serentak dengan peraturan-peraturan serta perintah di bawahnya bermula 1 Oktober lalu.
BACA JUGA ‘Tempias’ Ribut Tropika Trami, Kedah dijangka hujan hingga akhir bulan ini