‘Tempias’ Ribut Tropika Trami, Kedah dijangka hujan hingga akhir bulan ini
Kedah dijangka akan dilanda ribut petir menyeluruh yang mengakibatkan banjir kilat dan angin kencang sehingga akhir bulan ini.
Jangkaan itu ekoran Ribut Tropika Kuat Trami, menurut Pengarah Meteorologi Malaysia Kedah, Muhammad Khalil Abd. Aziz.
Walaupun tempias taufan tersebut agak lemah ke atas Kedah, jelasnya, ribut petir menyeluruh mengakibatkan seluruh Kedah kembali hujan bermula hari ini.
“Kedah tidak teruk kesan (Ribut Tropika Kuat Trami), namun kesannya akan mengakibatkan angin kencang dan hujan lebat.
“Kebiasaannya di kawasan perairan dan pantai.
“Sepanjang tempoh itu juga diramalkan berlaku Garis Badai Sumatras yang juga mengakibatkan hujan lebat serta banjir kilat,” katanya, lapor Kosmo!
Muhammad Khalil menambah ribut petir turut melanda perairan dan pantai Kedah yang mengakibatkan laut bergelora dan berombak.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai berwaspada dan mengelak aktiviti di laut sepanjang tempoh tersebut bagi mengelak kejadian tidak diingini.
Sementara itu, Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir dan hujan lebat di Kedah, Perlis dan Pulau Pinang sehingga jam 9 malam ini.
Menerusi kenyataan yang dimuat naik di media sosial, MetMalaysia memaklumkan keadaan cuaca itu juga dijangka melanda Perak melibatkan Kerian, Larut, Matang Dan Selama, Hulu Perak dan Kuala Kangsar.
Cuaca sama juga diramal berlaku di Kelantan (Tumpat, Pasir Mas, Jeli, Tanah Merah, Kuala Krai dan Gua Musang); Pahang (Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Raub, Jerantut, Bentong, Temerloh, Maran, Kuantan, Bera dan Rompin) serta Johor iaitu sekitar Mersing.
BACA JUGA Faris nafi semua tuduhan, bakal ambil tindakan undang-undang
Â