Pembangkang perlu bersedia awal untuk sidang Belanjawan Negeri Selangor

Ahli Dewan Negeri Selangor (ADN) Batu Tiga, Danial Al-Rashid Haron menegur sikap pihak pembangkang yang terus menonjolkan kelemahan dalam persiapan dan kurang bertanggungjawab dalam membawa isu-isu yang bermakna untuk kepentingan rakyat.

Menurutnya, semua ahli sidang Dewan Negeri Selangor yang bakal bermula pada 15 November depan perlu hadir dengan persiapan rapi, terutamanya pembangkang.

“Belanjawan 2025 yang baru sahaja dibentangkan merupakan belanjawan kali ketiga oleh Kerajaan Perpaduan.

“Malangnya, kita melihat bahawa pihak pembangkang gagal mengemukakan sebarang belanjawan alternatif atau cadangan yang konstruktif sebagai pandangan berbeza bagi membantu rakyat.

“Jika dibandingkan dengan prestasi Pakatan Harapan semasa berada di bangku pembangkang dahulu, kita telah membuktikan bahawa kritikan kita disertai dengan solusi yang jelas,” katanya menerusi kenyataan.

Walau bagaimanapun, beliau berkata, pembangkang dilihat sibuk mempertikaikan hal-hal kecil dan remeh seperti Perdana Menteri tidak ambil gaji, serta bangkitkan istilah ‘ketimbang’.

“Ini memperlihatkan tahap mentaliti yang rendah dan menunjukkan mereka tidak bersedia untuk membawa perubahan yang benar-benar bermanfaat.

“Melalui pengalaman kita dalam sidang-sidang dewan yang lalu, khususnya dalam sidang Julai 2024, isu-isu yang dibawa oleh pembangkang sering berulang, hampir sama dengan sidang November 2023,” katanya.

Danial berkata, pembangkang sepatutnya memperbaharui pendekatan mereka dengan lebih kreatif dan relevan, bukannya sekadar mengitar semula isu yang sama tanpa penambahbaikan.

“Jangan hanya datang dengan kritikan kosong tetapi bawa juga cadangan yang mampu memberi manfaat kepada rakyat Selangor,” ujarnya lagi.

Sehubungan itu, beliau berharap sidang dewan negeri kali ini dapat menjadi platform untuk semua pihak menyumbang kepada pembangunan negeri dengan tumpuan kepada dasar dan isu-isu yang lebih bermakna, bukan mengitar semula dan membawa isu remeh temeh dalam perbahasan.

BACA JUGA Kibar bendera China di Teluk Intan, rupanya perhimpunan disertai warga asing perlu ‘permintaan khas’

Â