Kenapa bendera Palestin boleh, China tak boleh, Pemuda MCA terangkan

Ketua penerangan MCA Neow Choo Seong mempertahankan pengibaran bentera Palestin ekoran kontroversi yang dicetuskan menerusi pengibaran bendera China di Pulau Pinang baru-baru ni dan sempena sambutan kebudayaan Guan Gong di hadapan Menara Condong, Teluk Intan.

“Penindasan tentera Zionis dan solidariti masyarakat dunia ke atas serangan kejam hingga membunuh ramai kanak-kanak serta orang awam yang tidak berdosa di bumi Palestin.

⁠”Terbukti jenayah perang ini turut mendapat reaksi dan tentangan banyak negara melalui resolusi di Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB). Ini adalah isu antarabangsa.

“Mengibarkan bendera Palestin kerana dua perkara di atas adalah sangat berbeza dengan tindakan segelintir pihak yang mengibarkan bendera asing yang lain tanpa bersebab.”

Neow mengulangi kenyataan ketua polis Perak berhubung status perhimpunan Guan Gong.

“Saya tidak kata langsung tidak boleh mengibarkan bendera negara asing, tetapi ia perlulah memiliki sebab yang kukuh. Misalnya di kejohanan sukan antarabangsa, sudah tentu ada bendera negara asing yang dikibarkan, atas sebab penyertaan negara tersebut.

“Begitu juga dengan peristiwa atau hari-hari penting yang diraikan seperti ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia-China. Sudah tentu kita dapat melihat bendera kedua-dua negara dikibarkan secara bersama sebagai simbolik hubungan akrab kedua-dua negara.

“Ketua Polis Perak juga sudah menyatakan bahawa perhimpunan tersebut dibuat secara haram dan tanpa permit.

“Perhimpunan haram itu pun sudah menjadi kesalahan, apatah lagi himpunan warga asing di bumi Malaysia dengan mengibarkan bendera asing. Cuba sebut dan nyatakan, kalau ada mana-mana negara lain yang akan membenarkan insiden seperti ini berlaku di negara mereka.

“Ketiga, sekiranya betul mereka yang kibarkan bendera asing tu adalah di kalangan warga asing sekali pun, kenapa tidak kelihatan bendera Malaysia yang turut dikibarkan bersama oleh pihak penganjur yang saya yakin adalah di kalangan orang Malaysia? Siapa penganjur?

“Bukankah Teluk Intan itu di Malaysia? Bukankah itu sepatutnya menjadi tanggungjawab dan hasrat setiap warga Malaysia untuk mempromosikan Malaysia, apatah lagi di kawasan-kawasan pelancongan kita sendiri?”

BACA JUGA: Ketua pembangkang Perak Razman Zakaria pula disiasat, kenapa?