PM Anwar bidas mereka yang pertahan kumpulan T15

Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim membidas pendirian ahli parlimen yang mempertahankan golongan kaya T15 susulan penyasaran subsidi petrol RON95 yang diperkenalkan dalam Belanjawan 2025 yang dibentangkan beliau.

Ini kerana majoriti rakyat, 85%, tidak akan terkesan daripada penyasaran subsidi malah mempunyai pendapatan rendah.

“Dalam pembahasan di Parlimen semua nak jadi jaguh pertahankan T15 ini.

“Kalau dia cadangkan kata kena kaji, mungkin orang tu tak kaya betul, saya boleh terima teguran tapi takkan nak jadi jaguh.

“Ini politik apa, inilah negara di mana orang politik riuh rendah nak pertahankan orang kaya T15. Orang kampung (mereka) tanya tak?,’’ katanya ketika berucap dalam lawatan kerja dan Majlis Ramah Mesra Bersama Masyarakat Padang Rengas, di Perak, hari ini.

Kategori isi rumah T15 merujuk kepada istilah yang digunakan untuk menggambarkan 15% isi rumah teratas dari segi pendapatan dalam masyarakat.

Mengulas lanjut, Anwar meminta orang ramai supaya memahami mengenai penyasaran subsidi RON95 dengan mendengar dan menilai sendiri apa yang diperkatakan oleh ahli politik terbabit.

“Orang tu mungkin ada janggut, pakai kopiah atau pakai kot, cuma nilai yang betul. Nilai dan bincang sama ada dia faham ke ekonomi.

“Sama ada niat ikhlas untuk bangunkan negara atau kerana dengki,’’ katanya.

Beliau turut menangkis serangan timbalan presiden Pas Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang mempersoal pendapatan ANwar ekoran keputusan Anwar yang tidak mengambil gaji sebagai Perdana Menteri.

“Jadi PM tak ambik gaji, marah, dengki ke, apa masalah dia.

“Kalau ambil gaji, setahun berapa ratus ribu dapat. Dah dua tahun, sejuta… tak apa, saya tak miskin. Saya ada elaun sebagai Ahli Parlimen, dapat kereta kerajaan,’’ katanya.

BACA JUGA: Serangan politik kotor untuk lagakan pemimpin dalam DAP, Young Syefura buat laporan polis