PRN Sabah: PKR kekalkan pakatan dengan GRS, BN?

Setiausaha agung PKR Fuziah Salleh menyatakan bahawa PKR Sabah dijangka mengekalakan pakatan yang sedia ada dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan BN dalam menghadapi pilihan raya negeri.

Ini kerana pakatan pemerintah Sabah utuh dan perbincangan dalam kalangan kepimpinan sedang berlangsung.

“Pada masa ini, sekarang terdiri daripada GRS, BN dan Pakatan Harapan, dan saya fikir akan kekal begitu,” kata Fuziah, lapor FMT, dan menambah gabungan sama mungkin akan menghadapi PRN akan datang bersama-sama.

Walau bagaimanapun, keputusan muktamad belum dicapai.

PKR Sabah mempunyai autonomi dalam strategi pilihan raya Sabah. Bagaimanapun pimpinan pusat PKR akan memainkan peranan penting dalam semua keputusan akhir.

Pengerusi BN Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi telahpun mengumumkan persetujuan Umno untuk bekerjasama dengan PH dalam PRN Sabah.

Zahid berkata Umno dan BN bersedia untuk bekerjasama dengan mana-mana parti lain yang berminat untuk menyertai pakatan pilihan raya.

Situasi berlainan untuk Sarawak

Situasi di Sarawak pula berlainan sekali dalam keadaan PKR Sarawak mengumumkan hasrat bertanding manakala pemimpin Gabungan Parti Sarawak Abdul Karim Rahman Hamzah telah memberi amaran kepada PKR agar tidak menggugat keharmonian politik menjelang PRN.

“Kerajaan persekutuan merupakan kerajaan perpaduan, di mana GPS adalah sebahagian daripadanya, manakala kerajaan Sarawak diterajui GPS sahaja,” katanya.

Fuziah berkata walaupun PKR secara teknikal sebahagian daripada pembangkang di Sarawak, ini tidak menghalangnya daripada bertanding pilihan raya, tetapi ia tetap penting bagi semua rakan kongsi kerajaan perpaduan untuk membincangkan potensi untuk berpakat sebelum PRN.

“Proses itu belum berlaku lagi, jadi agak terlalu awal untuk PKR Sarawak buat pengumuman sedemikian,” katanya.

Fuziah tidak melihat kemungkinan PKR Sarawak bekerjasama dengan GPS memandangkan PKR Sarawak mempunyai autonomi dalam hal tersebut.

“Kami menghormati konsep federalisme. Kepimpinan pusat tidak akan perintah PKR Sarawak. Kami memperkasakan mereka untuk melibatkan diri, berunding dan merancang mengikut apa yang mereka percaya adalah yang terbaik,” katanya.

Awal bulan ini, Ketua Penerangan PKR Sarawak Tay Wei Wei berkata bahagian negeri akan bertanding setiap kerusi yang diperuntukkan oleh PH Sarawak semasa PRN lalu.

BACA JUGA: Penstrukturan dalaman PKR: Fuziah ambil alih jawatan Saifuddin