Dipersenda kerana ‘ketimbang’, ini jawapan bersahaja Anwar kepada pembangkang
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak tersinggung dengan segelintir Ahli Parlimen yang mempersendakan perkataan ‘ketimbang’ yang digunakannya.
Beliau sebaliknya menyarankan agar ahli politik meningkatkan penguasaan bahasa supaya tidak kebingungan.
“Saya pakai songkok senget sikit pun dia marah, pakai baju Melayu dengan capal pun tak kena.
“Kemudian saya guna istilah-istilah baharu seperti ‘ketimbang’ pun dia bingung sikit tidak faham.
“Kita sebagai pemimpin, kita tingkatkan penguasaan bahasa. Dulu tak ada Alaf, saya gunakan. Dulu tak ada mampan, saya perkenalkan.
“Tiada telus, saya perkenalkan. Tidak popular (perkataan) kesenjangan, kita popularkan. Jadi, kita didik anak-anak menggunakan bahasa,” katanya semalam
Pada masa sama beliau juga menegur sikap Ahli-Ahli Parlimen di Dewan Rakyat yang hanya tahu mengecam ketika berbahas.
“Masa pembentangan belanjawan dua jam setengah, kalau dengar saya tak kecam orang. Saya tak kecam dan maki orang. (Tapi segelintir Ahli Parlimen) walaupun dalam perbahasan, maki,” katanya.
Anwar berkata, beliau sebolehnya enggan melayan cemuhan segelintir pihak kerana jika dilayan, kerja tidak akan selesai.
“Bagi saya, kalau nak jawab benda ini… letih kita, kerja tak jalan.
“Saya singgung perkara ini kerana (jika) tak jawab, orang kadang keliru. Jawab sikit-sikit, bolehlah… kita nak tumpu kerja,” ujarnya lagi.
Ungkapan ‘ketimbang’ yang digunakan Perdana Menteri ketika Belanjawan 2025 dipersoal oleh pembangkang kerana mendakwa ia tidak didapati dalam perbendaharaan kata DBP.
Susulan itu Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) memaklumkan ia akan dimasukkan ke dalam Kamus Dewan Perdana Edisi Kedua.
Perkataan tersebut merupakan kata sendi nama yang bermaksud menyatakan atau menunjukkan perbezaan atau perbandingan antara sesuatu.
BACA JUGA PM Anwar bidas mereka yang pertahan kumpulan T15
Â