Gempar! Kartel bekal baja padi terbesar bernilai RM1.8 bilion dibongkar SPRM

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesyaki wujud kartel yang menguasai pengagihan dan perbekalan kontrak baja padi di sebuah pertubuhan bernilai RM1.8 bilion.

Beberapa siri pembongkaran telah dilakukan SPRM dalam tempoh dua hari ini di sekitar Kuala Lumpur termasuk di ibu pejabat pertubuhan berkenaan, kementerian dan sembilan syarikat yang mendapat projek berkaitan.

Menurut sumber, projek di bawah sebuah kementerian yang tidak didedahkan itu yang berjumlah RM1.8 billion telah dianugerahkan kepada pertubuhan terbabit bagi tempoh 30 bulan bermula 2021 hingga 2023.

“Pertubuhan terbabit bertanggungjawab untuk menghasilkan baja padi dan mengedarkannya kepada para pesawah di seluruh negara melalui pejabat pertubuhan peringkat negeri masing-masing.

“Hasil siasatan mendapati pertubuhan itu telah menggunakan dua kaedah untuk memenuhi kontrak kerajaan iaitu membeli terus baja-baja padi daripada lima syarikat pengeluar dan membeli bahan-bahan mentah bagi memproses baja daripada empat syarikat,” katanya.

Sumber berkata, siasatan SPRM akan menjurus kepada kesalahan rasuah dalam perolehan baja atau bahan mentah daripada syarikat-syarikat terpilih.

Siasatan juga menjurus kepada kesalahan salahguna kuasa yang mungkin berlaku di mana ahli-ahli lembaga pengarah yang terlibat dalam membuat keputusan dalam pemilihan syarikat-syarikat berkepentingan.

“SPRM telah merampas dokumen-dokumen berkaitan projek ini di peringkat kementerian, pertubuhan dan syarikat berkaitan dan dalam peringkat kajian mendalam,” ujarnya.

Enam orang pegawai kementerian dan pertubuhan terbabit telah dipanggil SPRM untuk ditemubual.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan siasatan dan tidak menolak akan menahan beberapa orang yang disyaki terlibat bagi membantu siasatan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 16, Seksyen 18 dan seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009

BACA JUGA ‘Pensyarah kangkung’ ghaib, tak muncul sesi mediasi saman fitnah Hannah Yeoh

Â