Pensyarah ‘ghaib’, tak muncul sesi mediasi saman fitnah Hannah Yeoh
Pensyarah kontroversi di Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Kamarul Zaman Yusoff gagal menghadirkan diri pada sesi mediasi dengan Hannah Yeoh hari ini membabitkan saman fitnah yang dikemukakan Ahli Parlimen Segambut itu.
Hannah berkata, beliau berada di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi sesi berkenaan, namun Kamarul tidak hadir walaupun sebelum ini bersetuju mengambil bahagian.
Ketidakhadirannya menyebabkan sesi itu tidak dapat diteruskan dan perbicaraan ditunda pada 25 November nanti.
“Hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bersama peguam saya Sangeet Kaur Deo dari Karpal Singh & Co berkaitan kes fitnah (difailkan) saya terhadap Kamarul Zaman Yusoff.
“Bagaimanapun, sesi mediasi tidak dapat diteruskan kerana defendan tidak hadir walaupun telah bersetuju untuk mengambil bahagian.
“Ketidakhadirannya jelas tidak menghiraukan mahkamah dan proses mediasi. Perbicaraan akan berjalan pada 25 November,” katanya di Facebook.
Hannah yang juga menteri belia dan sukan memfailkan saman pada 2022 terhadap dua hantaran Facebook Kamarul yang dimuat naik pada Mei 2017, di mana ia mendakwa beliau “mempunyai motif menyebarkan agama Kristian melalui politik”.
Kamarul juga menyebut buku biografi Hannah, Becoming Hannah: A Personal Journey, didorong oleh “agenda Kristianisasi”.
Pensyarah itu juga mendakwa Hannah “berhasrat menjadikan Malaysia sebuah negara Kristian”.
BACA JUGA ‘Ini fitnah, saya tak faham kenapa siar berita palsu ini’ – Guan Eng