‘Ini fitnah, saya tak faham kenapa siar berita palsu ini’ – Guan Eng

Pengerusi DAP, Lim Guan Eng menegur satu laporan berita yang didakwa melaporkan ucapannya secara tidak benar sehingga menimbulkan salah faham antaranya dengan UMNO.

Guan Eng berkata, ketika perbahasan Belanjawan 2025, beliau tidak pernah menyentuh tentang isu mangsa banjir dalam ucapannya.

Namun dalam laporan sebuah portal berita, Guan Eng didakwa telah menyindir menteri UMNO yang dikatakan kurang membantu mangsa banjir di Pulau Pinang.

Portal itu melaporkan, “Guan Eng berterima kasih kepada barisan menteri Kerajaan Perpaduan yang turun membantu mangsa banjir di Pulau Pinang dan kawasan Parlimennya, namun secara sinis berkata ‘menteri UMNO kurang bantu sikit’”.

“Saya tidak faham mengapa FMT membuat pembohongan dengan menyiarkan berita palsu bahawa saya menyentuh tentang menteri UMNO kurang bantu mangsa banjir di Pulau Pinang dan dalam kawasan Parlimen saya Bagan.

“Ini adalah satu fitnah yang tidak harus diamalkan oleh para pemberita yang bertanggungjawab dan profesional.

“Saya tidak menyentuh perkara mangsa banjir dalam ucapan saya dan ia boleh disahkan dengan laporan Hansard Parlimen dan rakaman video ucapan saya,” tegasnya dalam satu hantaran di Facebook.

Susulan laporan yang mendakwa Guan Eng menyindir menteri UMNO, media-media melaporkan respon Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang meminta Guan Eng tidak menafikan jasa UMNO kepada Pulau Pinang.

Susulan itu Guan Eng berkata, Ahmad Zahid tidak harus diperdayakan dan membuat kritikan berdasarkan satu laporan palsu oleh media portal.

Sebagai pemimpin negara katanya, beliau sepatutnya semak dahulu kesahihan berita berdasarkan fakta dan angka yang benar dan bukan bersandarkan yang tidak berasas.

Pada masa sama pemimpin DAP itu berkata, beliau rela bertemu dengan seperti yang dicadangkan tentang peruntukan yang diperlukan dalam kawasan Parlimen Bagan, khususnya pembangunan dalam kampung tradisi.

“Saya telah salurkan peruntukan Parlimen untuk pembinaan jalan dan infrastruktur kecil tetapi ia masih tidak mencukupi untuk mengukuhkan pembangunan yang mampan,” katanya lagi.

BACA JUGA Perigi ION ‘overclaim’ boleh sembuhkan pelbagai penyakit, ini respon KKM