Perigi ION ‘overclaim’ boleh sembuhkan pelbagai penyakit, ini respon KKM

Tular di media sosial sebuah tapak perkhemahan sekitar Ulu Sepri, Rembau didakwa menawarkan khidmat mandian terapi air perigi untuk kesihatan diri.

Pusat tersebut mendakwa ia mempunyai terapi Perigi ION Water yang dihasilkan oleh seorang pakar dan mampu menyembuhkan pelbagai penyakit.

Seorang pengguna X @miyauyau, mendedahkan tangkap layar WhatsApp yang memaparkan iklan perigi air ION itu.

“Perigi ION Water dihasilkan oleh seorang pakar melalui dua buah perigi iaitu Reformax dan Kinetic berteknologi tinggi yang pertama di Malaysia,” demikian mesej yang dikongsikan.

Air mandian perigi itu didakwa boleh memberi kesan baik buat mereka yang mengalami pelbagai jenis penyakit termasuklah strok, asma, slip disc, anxiety, depresi, gerd, resdung dan banyak lagi.

Menurut beberapa orang pengguna X, kos untuk terapi itu adalah RM50 untuk sebaldi air perigi.

“Assalamualaikum @KKMPutrajaya tolong tengok terapi Perigi ION Dusun Pinang Campsite Ulu Sepri. Kemain bersusun pnyakit boleh sembuh ni,” kata pengguna X yang mendedahkan perkara itu.

Sementara itu dalam satu video berasingan dikongsikan orang awam, seorang pekerja di tapak perkhemahan tersebut mengatakan bahawa perigi itu bukanlah semula jadi.

Namun dia mendakwa perigi ION mempunyai khasiat tertentu kerana orang zaman dahulu gemar mandi perigi.

“Perigi ni bukanlah perigi semula jadi. Ini kita buat. Kita buat dalam konsep perigi dan cara ni ada satu-satunya dekat Malaysia dan satu-satunya dekat dunia.

“Kita buat konsep ini sebab orang zaman dulu suka mandi perigi. Perigi ni ada khasiat-khasiatnya tersendiri, ada rahsia dia,” ujar lelaki tersebut.

Ramai menyeru Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk mengambil tindakan terhadap pusat perkhemahan yang menawarkan terapi air perigi tersebut.

Susulan isu yang tular, KKM menerusi satu hantaran di laman X hari berkata pihaknya mengambil maklum tentang perkata itu.

“Terima kasih atas keprihatinan anda. KKM mengambil perhatian serius mengenai isu ini,” ujarnya.

BACA JUGA ‘Top 3’ pembangkang ghaib ketika sesi PMQT