‘Top 3’ pembangkang ghaib ketika sesi PMQT
Kelibat ‘Top 3’ pembangkang termasuk Ketuanya, Datuk Seri Hamzah Zainudin tiada dalam sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat, pagi tadi.
Dua lagi wakil rakyat Perikatan Nasional (PN) yang ‘ghaib’ di Parlimen hari ini ialah Ahli Parlimen Marang, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Tan Sri Mahiaddin Yassin.
Kedua-dua mereka masing-masing Presiden Pas dan Presiden Bersatu.
Semakan Harapandaily mendapati, Abdul Hadi bahkan tidak menghadiri Mesyuarat Ketiga, Penggal Ketiga Parlimen ke-15 kali ini pada 24 dan 28 Oktober.
Hari ini, lebih mengejutkan hampir semua kerusi utama di bahagian depan blok pembangkang didapati kosong.
Rata-rata menyifatkan pembangkang gagal memanfaatkan peluang bersemuka secara langsung dengan Perdana Menteri semasa sesi PMQT dalam mengangkat suara rakyat.
Antaranya, pengguna X, Amer Hamzah yang menulis pembangkang sebagai hanya, “bercita-cita besar mahu menjadi pemerintah.”
Ada juga berpendapat jika berada di barisan belakang dalam blok pembangkang pastinya malu setiap kali hendak berhujah ‘melawan’ Perdana Menteri.
“Bos-bos aku tak muncul nak lead dalam Parlimen. Malu… Tapi itulah, pembangkang tiada otak,” kecam @DrumRamon.
Sikap pemimpin utama pembangkang yang tidak menghadiri sesi PMQT juga dianggap sebagai hanya baling batu sembunyi tangan.
Ketidakhadiran ‘Top 3’ pembangkang juga dianggap bukti bahawa blok oposisi sekarang gagal melaksanakan peranan mereka sebagai semak dan imbang kepada kerajaan pada hari ini.
Sesi PMQT merupakan pembaharuan yang dilaksanakan Kerajaan Perpaduan.
Pada setiap Selasa, Perdana Menteri akan menjawab soalan yang ditujukan kepada beliau manakala pada Khamis ialah sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT).
Sejak tahun lalu, menerusi sesi PMQT, Anwar yang juga Menteri Kewangan menjawab soalan daripada para wakil rakyat dalam Mesyuarat Parlimen ke-15.
BACA JUGA Pertahan aset kerajaan dan kepentingan awam, Akta Pengambilan Tanah bakal dipinda