Pertahan aset kerajaan dan kepentingan awam, Akta Pengambilan Tanah bakal dipinda
Perdana Menteri berkata, kerajaan bercadang meminda Akta Pengambilan Tanah 1960 (APT) [Akta 486] bagi memastikan aset kerajaan dan kepentingan awam dapat dipertahankan ekoran isu pengambilan tanah Enklaf Duta di ibu negara.
Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memberitahu rang undang-undang (RUU) bagi pindaan akta terbabit sedang disiapkan Jabatan Peguam Negara sebelum dimuktamadkan oleh Jemaah Menteri.
“Kita lihat seperti dilakukan oleh Jabatan Peguam Negara sekarang supaya undang-undang diperketatkan, kepentingan awam tidak boleh dikorbankan.
“Kalau kita berkompromi dalam hal ini, maka seluruh tanah terutama milik Melayu di bandar akan terbongkar semula,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat.
Terdahulu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) bertanyakan tentang langkah penyelesaian kerajaan dalam menghadapi kemelut Enklaf Duta yang menyaksikan implikasi serius kepada negara dalam pelbagai aspek.
Ia susulan keputusan Mahkamah Tinggi yang mengarahkan pemulangan semula 263.272 ekar (106.54 hektar) tanah di Jalan Duta kepada Semantan Estate Sdn Bhd (Semantan Estate).

Mengulas lanjut, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, pindaan Akta 486 juga dapat membantu menyelesaikan masalah berkaitan pada masa akan datang selain memudahkan penyelesaian isu Duta Enklaf.
Menurutnya, kerajaan akan terus menggunakan saluran undang-undang selain berunding dengan Semantan Estate untuk mencari jalan penyelesaian terbaik terhadap isu yang berlarutan sejak negara belum merdeka lagi.
“Kita masih merayu soal keputusan mahkamah untuk pindah milik.
“Jadi, saya serah kepada Jabatan Peguam Negara dalam kes rayuan ini,” katanya.
Dalam masa sama, Anwar menegaskan keputusan untuk mengalah dengan mudah dalam kes itu tidak akan menyelesaikan masalah, sebaliknya membuka ruang kepada isu tanah yang lain untuk dibangkitkan.
Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Takiyuddin mengenai cadangan kerajaan terdahulu untuk memberi pampasan berjumlah RM5 bilion tetapi tidak diterima oleh Semantan Estate walaupun nilai tanah berkenaan dianggarkan sebanyak RM3.1 billion.
“Kita harus tegas… sekarang ini satu inci pun (tanah Enklaf Duta) tidak dibangunkan untuk swasta atau komersial.
“Semuanya untuk bangunan kerajaan,” kata Anwar.
Tegasnya, isu tanah yang terletak di lokasi utama Jalan Duta itu bukan sahaja membabitkan isu teknikal undang-undang tetapi soal prinsip pembangunan negara dan kepentingan awam.
Anwar berkata, Ketua Setiausaha Perbendaharaan juga telah mengadakan mesyuarat dengan Semantan Estate dalam usaha mencari penyelesaian terbaik kepada isu berkenaan.
Ini termasuk memberikan laluan kepada Semantan Estate untuk membangunkan sebahagian tanah di Enklaf Duta yang belum dibangunkan dengan syarat bekerjasama dengan mana-mana syarikat kerajaan.
Untuk rekod, kawasan tanah yang dituntut Semantan Estate itu pada masa ini menempatkan Stadium Hoki Nasional, Institut Integriti Malaysia (IIM), Arkib Negara, Mahkamah Syariah Kuala Lumpur, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Akademi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA).
BACA JUGA Pentingnya 85 peratus rakyat bawahan, PM ‘sekolahkan’ MP Pas