Berapa jumlah kes penipuan logo dan sijil halal sejak 2022 dan jumlah nilai rampasan?

Sejak 2022 hingga Oktober 2024, sejumlah 140 kes penipuan logo dan pensijilan halal disiasat melibatkan nilai rampasan lebih daripada RM3.5 juta, kata Menteri Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali.

“Sepanjang tempoh 2022 hingga Oktober 2024, sebanyak 140 kes telah dihasilkan dengan nilai rampasan sebanyak RM3,598,817.00 yang melibatkan premis pemilikan orang Islam dan bukan Islam,” kata beliau dalam jawapan bertulis kepada Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu).

Rosol bertanya berkenaan kes melibatkan pengusaha makanan dan minuman bukan Islam bagi tempoh tersebut.

Armizan menambah bahawa penipuan logo dan pensijilan halal adalah kesalahan di Bawah Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011 dan Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011.

Kementerian beliau turut mengambil empat langkah berikut untuk mengekang kes penipuan tersebut:

  1. Bekerjasama dengan JAKIM dan Jabatan Agama Islam Negeri bagi memperkemaskan penguatkuasaan halal.
  2. Membuat hebahan umum mengenai pematuhan perundangan halal melalui media sosial rasmi kementerian dan menerbitkan kenyataan media.
  3. Menjalankan pemeriksaan halal secara berkala di pasar raya, restoran dan kilang pemprosesan, di samping memberi khidmat nasihat mengenai perundangan.
  4. Mengadakan operasi khas berkaitan halal secara bersepadu dengan agensi-agensi Kerajaan di seluruh negara.

BACA JUGA:‘Pensyarah kangkung’ ghaib, tak muncul sesi mediasi saman fitnah Hannah Yeoh