BN – PH bakal bekerjasama dalam PRN Sabah?

Cadangan pengerusi BN Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi agar BN dan PH bekerjasama dalam pilihan raya negeri Sabah kelihatan seperti tidak mendapat sambutan daripada para pemimpin Sabah.

Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah Datuk Seri Hajiji Noor mengandaikan cadangan tersebut sebagai pandangan peribadi Zahid.

“Kita mempunyai sebuah kerajaan yang kuat dan harmoni di bawah GRS dan PH+. Keutamaan kita adalah kesejahteraan rakyat Sabah,” kata Hajiji yang juga Ketua Menteri Sabah.

“Itu pandangan beliau tetapi apa yang penting di sini ialah kekuatan dan perpaduan di dalam GRS. Kita akan bekerja untuk memberi yang terbaik kepada Sabah,” kata beliau setelah merasmikan konvensyen PBS ke-39 di Penampang semalam.

Beliau turut mengesahkan rundingan pengagihan kerusi akan dimulakan bulan hadapan.

Sementara itu presiden Upko yang juga komponen PH, Datuk Ewon Benedick mengesahkan bahawa majlis presiden PH belum membincangkan kerjasama dengan parti lain.

Belum ada keputusan muktamad berkaitan kerjasama PH dengan parti lain untuk menghadapi pilihan raya negeri.

“PH Sabah perlu memilih rakan yang berkongsi prinsip sama seperti persetujuan berkenaan Perjanjian Malaysia 1963, meminta satu per tiga perwakilan di Dewan Rakyat dan pemulangan semula 40% hasil Sabah.”

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan.

BACA JUGA: Berapa jumlah kes penipuan logo dan sijil halal sejak 2022 dan jumlah nilai rampasan?

Â