China bantah penerokaan minyak Malaysia, apa pendirian Malaysia?
Malaysia akan tetap meneruskan aktiviti penerokaan minyak di Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) milik Malaysia yang terletak di Laut China Selatan meskipun China telah membantah aktiviti penerokaan minyak di Beting Raja Jarum dan Beting Patinggi Ali.
“Malaysia akan meneruskan eksplorasi di dalam perairan ZEE Malaysia di Sarawak.
“Ini kerana operasi tersebut dilakukan dalam perairan negara selaras dengan hak kedaulatan negara berdasarkan undang-undang antarabangsa,” kata Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan.
“Berhubung dengan perkara ini, penerokaan tersebut penting untuk kelangsungan ekonomi negara.
“Oleh itu, Malaysia akan terus mempertahankan kedaulatan, hak-hak kedaulatan serta kepentingannya di kawasan maritim negara berdasarkan kepada Peta Malaysia 1979.
“Kementerian Luar Negeri ingin menekankan bahawa pendekatan Malaysia ini adalah selaras dengan prinsip undang-undang antarabangsa yang diiktiraf sejagat termasuk Konvensyen Undang-Undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, atau dengan izin, United Nations Convention on the Law of the Sea – (UNCLOS) 1982.
Berhubung dengan isu kebocoran nota diplomatik Kementerian Luar China kepada Kedutaan Besar Malaysia di Beijing pada Februari lepas pula siasatan masih sedang dijalankan.
Mohamad Hasan menjelaskan perkara ini dalam jawapan bertulisnya kepada Wong Shu Qi (PH-Kluang).
BACA JUGA: Berhimpun tanpa permit, dua ADUN Pas sah dipanggil polis
Â