Larangan keluar KWSP untuk tunai haji rupanya tak betul, ini penjelasan timbalan menteri
Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying menafikan dakwaan yang tersebar ketika ini bahawa individu tidak dibenarkan membuat pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk menunaikan haji.
Beliau sebaliknya menjelaskan sekali lagi seperti ucapannya dalam Dewan Rakyat pada 28 Oktober lalu, bahawa Akaun Sejahtera iaitu Akaun 3 boleh digunakan oleh bakal jemaah haji yang berusia di bawah 55 tahun, tertakluk kepada syarat-syarat yang ditetapkan.
Beliau berkata prosedur itu telah kekal sejak diperkenalkan pada 2013 tanpa mengira siapa yang memegang tampuk pemerintahan.
Lim turut menegaskan sebarang dakwaan mengenai larangan pengeluaran KWSP untuk menunaikan haji adalah tidak benar dan berunsur fitnah.
“Pegawai Tugas-Tugas Khas saya, Lim Swee Kuan telah membuat laporan polis bagi membolehkan pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang sengaja memanipulasi maklumat untuk menyemarakkan ketegangan antara kaum.
“Pembabitan polis amat penting dalam memastikan berita palsu ini dihentikan segera,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya, tindakan pantas perlu diambil untuk menghalang penyebaran berita palsu itu daripada mencetuskan isu sensitif berkaitan agama, kaum, dan raja (3R).
Lim turut menyeru semua pihak termasuk pengguna media sosial, media massa dan pihak berkuasa agar berganding bahu untuk membendung penyebaran berita tidak benar yang boleh merosakkan perpaduan dan keharmonian.
BACA JUGA Kalau Kamala Harris menang, bolehlah balik kampung, makan nasi goreng USA
Â