PM Anwar buat lawatan ke luar negara. Berapa kosnya?
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim terlibat dalam 39 lawatan rasmi dan lawatan kerja ke 22 buah negara sejak Nov 2022 sehingga Oktober 2024.
Kesemua lawatan ini melibatkan perbelanjaan sebanyak RM13.7 juta, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa.
“Kos perbelanjaan pegawai-pegawai kerajaan yang turut serta dalam lawatan Perdana Menteri ke luar negara adalah di bawah tanggungjawab kementerian masing masing. Bagi pegawai keselamatan pula adalah di bawah tanggungjawab Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia,” tambah beliau.
Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada Datuk Awang Hashim (PN-Pendang).
Dr Zaliha turut mengingatkan Awang bahawa lawatan yang dibuat oleh Anwar menjana nilai potensi pelaburan berjumlah RM353.6 bilion pada tahun 2023 dan RM82.6 bilion dari bulan Januari sehingga Oktober 2024.
Menjawab isu berkaitan, Dr Zaliha memberitahu Datuk Azman Nasrudin (PN-Padang Serai) bahawa kos penerbangan perdana Menteri adalah berdasarkan ketetapan surat pekeliling Peraturan Penggunaan Pesawat Eksekutif Kerajaan.
“Urusan penerbangan bagi tujuan rasmi Kerajaan oleh Perdana Menteri adalah sepertimana ketetapan melalui Surat Pekeliling Am (Sulit) Bilangan 1 Tahun 2014 – Peraturan-Peraturan Penggunaan Pesawat Eksekutif Kerajaan Dan Pesawat Angkut Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).”
BACA JUGA: ‘Ini fitnah, saya tak faham kenapa siar berita palsu ini’ – Guan Eng
Â