Premis makanan kotor? KKM boleh tutup kedai
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyatakan bahawa ia boleh mengambil tindakan penguatkuasaan dan menerusi Program Keselamatan dan Kualiti Makanan dan memberi arahan penutupan premis tidak melebihi tempoh 14 hari ke atas premis yang kotor.
“KKM melalui Program Keselamatan dan Kualiti Makanan (PKKM) ingin menegaskan bahawa tindakan penguatkuasaan yang boleh diambil kepada pemilik premis makanan yang kotor atau tidak suci adalah arahan penutupan premis tidak melebihi tempoh 14 hari di bawah Seksyen 11, Akta Makanan 1983 di mana individu yang engkar arahan tersebut boleh didakwa dan jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan penjara tidak melebihi lima (5) tahun atau denda atau kedua-duanya,” kata kementerian tersebut dalam satu kenyataan media.
Kenyataan tersebut dibuat ekoran laporan akhbar The Star bertarikh 27 Oktober berkaitan amalan pengendalian makanan yang tidak baik oleh pengendali makanan seperti meludah ke dalam makanan dan tidak mendapatkan suntikan anti-tifoid.
Artikel tersebut juga menekankan kepentingan untuk memberikan hukuman berat kepada pengendali makanan yang gagal mematuhi keperluan perundangan.
Tambahan pula di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan (PPKM) 2009 di mana terdapat 33 kesalahan boleh dikompaun.
“Mana-mana individu yang gagal membayarkompaun tersebut boleh didakwa di mahkamah dan jika disabitkan kesalahan boleh didenda sehingga RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun.”
Dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini sahaja, 63,784 premis makanan telah diperiksa di seluruh negara.
“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 910 premis telah diarahkan tutup kerana tidak bersih, dan sejumlah 16,415 notis kesalahan dibawah Seksyen 32B, Akta Makanan 1983 telah dikeluarkan dalam tempoh berkenaan.
“Bagi tempoh yang sama, daripada sejumlah 94,275 pengendali makanan yang diperiksa di seluruh negara, didapati 79,818 (84.7%) pengendali makanan telah mendapatkan suntikan anti tifoid.”
“Di bawah Peraturan 30, PPKM 2009, pemilik premis makanan adalah bertanggungjawab untuk memastikan setiap pengendali makanan mengikuti Latihan Pengendali Makanan (LPM) di Sekolah Latihan Pengendali Makanan (SLPM) yang diiktiraf oleh KKM.”
Selain itu masyarakat dinasihatkan agar memperincikan lokasi premis makanan yang berkenaan supaya tindakan segera dapat diambil oleh pihak berkuasa.
Laporan boleh diajukan menerusi laman sesawang Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) serta Facebook Program Keselamatan dan Kualiti Makanan (PKKM).
BACA JUGA: China bantah penerokaan minyak Malaysia, apa pendirian Malaysia?