Tular al-Quran terabur di lantai didakwa hasil Op Global, polis buka mulut
Tular satu rakaman video memaparkan beberapa naskah al-Quran termasuk surah Yasin berterabur di atas lantai.
Pemilik video mendakwa, ia adalah hasil penggeledahan kawasan GIBSH selepas dua minggu Op Global Fasa 4 dijalankan di pusat pertanian di Nibong Tebal.
Persekitaran kelihatan agak kotor dengan dengan buku-buku dan al-Quran berselerak jatuh ke lantai.
“Kesan penggeledahan kawasan GISBH selepas lebih dua minggu Op Global Fasa 4 di Pusat Latihan Kemahiran dan Pertanian GISBH Nibong Tebal, Pulau Pinang.
“(Pihak) terlibat Op Global 4: PDRM (Polis Diraja Malaysia), JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat), Majlis Daerah dan Jabatan Haiwan, serta Jabatan Agama Islam Pulau Pinang.
“Al-Quran di lantai, surau dipenuhi najis haiwan,” demikian kapsyen pada video tular itu.
Video itu sehingga kini mendapat lebih 12,000 tanda suka dan lebih 150,000 tontonan.
Menjengah ke ruangan komen, beberapa pengguna mempersoalkan kesahihan video yang dirakam individu terbabit dan ada juga yang mencurigai tindakannya.
Tidak kurang juga rata-rata mengecam tindakan seumpama itu yang dianggap mengguris hati umat Islam selain mengaitkannya dengan kerajaan.
Sementara itu memetik Kosmo!, pihak polis mengesahkan masih belum menerima sebarang laporan berhubung dakwaan itu.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, individu yang merakam video berkenaan sepatutnya bertindak melaporkan kepada pihak berkuasa dan bukannya memuat naik di dalam media sosial sehingga menjadi tontonan dan bualan ramai.
“Individu terbabit sepatutnya buat laporan polis dan bukannya tular video seumpama itu di media sosial sekali gus telah menimbulkan kemarahan atau ketegangan awam terhadap pihak berkuasa.
“Pihak polis memandang serius tindakan seumpama itu termasuk dakwaan-dakwaan yang timbul daripada orang awam terhadap tugas pihak berkuasa,” katanya seperti dilapor.
BACA JUGA PM Anwar buat lawatan ke luar negara. Berapa kosnya?