‘Takkan orang yang sudah disaman fitnah berkali-kali, anda percaya?’
Oleh NORMAN RADZUAN
Ini kali ketiga saya menulis tentang isu bendera. Saya boleh terima jika lebai-lebai di luar bandar sana selepas solat Subuh berborak dengan warga pencen tidak faham isu bendera.
Tetapi jika ada wartawan tidak faham isu ini, saya pelik. Wartawan seorang yang mesti mencari fakta yang betul untuk mengulas sesuatu isu.
Nak beritahu, ia bukan acara solidariti tetapi sambutan bukan sekadar acara keagamaan tetapi pertukaran budaya dan tidak seharusnya disalahertikan.
Bagaimana boleh mempercayai seorang yang sering disaman fitnah, yang memainkan api perkauman yang menyatakan mereka ‘semua yang mata, kulit macam kita mesti bersatu.’
Jika dibiarkan perkara ini bilalah Malaysia nak maju. Dengan orang Sarawak akhir-akhir ini di media sosial memainkan sentimen benci orang Malaya, orang Malaya di kalangan Melayu sibuk pula memainkan isu perkauman dengan bangsa Cina, adakah mereka mahu negara ini menuju kehancuran.
Mari kita dengar apa kata orang intelektual di kalangan orang akademik. Tajuddin Rasdi, dalam kecaman kerasnya terhadap Pesuruhjaya Pas Perak Razman Zakaria, berkata pemimpin seumpama itu bukanlah seorang patriot atau pejuang bangsa dan agama tetapi sebaliknya seorang oportunis yang memalukan.
Mereka mempunyai mata, tetapi malangnya, tidak dapat melihat keindahan dalam kepelbagaian. Mereka mempunyai kulit, tetapi malangnya tidak dapat merasakan toleransi.
“Ada darah, tetapi malangnya, dicemari dengan prasangka,” kata Prof Tajuddin.
“Orang ramai tidak boleh membenarkan penipu ini membutakan mereka dengan fahaman perkauman atau jingoisme dengan alasan untuk mempertahankan negara, bangsa dan agama daripada ancaman yang direka,” katanya.
Kononnya Islam terancam? Saya ingin bertanya sejak merdeka, adakah sekarang anda tidak boleh solat di masjid? Ceramah agama dihalang? Tidak boleh lagi berpuasa, menunai haji dan umrah?
Atau sekarang Perdana Menteri Lim Guan Eng? Menteri Pertahanan Anthony Loke? Panglima Tentera dan Ketua Polis orang Cina? Kakitangan kerajaan sekarang 90% bangsa Cina? Kalau bukan, di mana terancamnya Islam dan Melayu!?
Yang terancam adalah pemimpin jadong yang jam tangannya harga ratusan ribu, seliparnya harga beribu, jaketnya harga puluh ribu, kereta mewah dan sekarang ramai antara mereka terbabit dengan isu rasuah.
Telah sekian lama tolenrasi antara kaum begitu baik. Bangsa Cina, India, Dusun, Iban yang bukan Islam sudah terbiasa mendengar suara azan 5 kali sehari.
Malah, kadangkala mereka terbiasa mendengar ceramah berjam-jam sehari di speaker masjid yang dipasang begitu kuat. Mereka tahu ini negara Islam yang didominasi orang Melayu.
Mereka menghormati Raja-Raja kita. Tetap menyembah Raja-Raja Melayu, tetap mengibarkan bendera Malaysia jika berjaya di luar negara. Nak kata menderhaka kepada Raja berapa ramai orang Melayu yang berbuat demikian.
Sebab itu scammer di kalangan berkopiah semakin menjadi-jadi. Sebabnya kita mudah terpegun mereka yang berkopiah sedangkan mereka ini adalah jadong.
Jangan biarkan jadong-jadong (pemimpin jahat, bodoh dan sombong) ini menipu kalian.
Tahap Razman ini jika kalian percaya bermakna kalian sudah dikeldaikannya. Yalah, bak kata AR Tompel, “Takkan lebai nak menipu”?
Selidiklah latar belakang seseorang itu. Takkan orang yang sudah disaman fitnah berkali kali anda percaya.
Seolah-olah anda percaya kepada perogol bersiri untuk menjadi pekerja di rumah anda.
BACA JUGA Vivy kekal ‘trending’, ramai desak penjelasan Khazanah dan PNB