‘Bukan sentimen, tapi bukti boleh bantu Najib’

Sentimen tidak akan membantu mantan perdana menteri Datuk Seri Najib Razak membebaskan dirinya daripada 25 pertuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram apabila kes itu dibicarakan awal bulan depan.

Menurut bekas peguam negara Tan Sri Abu Talib Othman, Najib masih mempunyai peluang untuk dibebas dan dilepaskan daripada pertuduhan tersebut walaupun sudah diarah oleh mahkamah untuk membela diri.

Bagaimanapun, katanya, langkah yang diambil pasukan Najib mestilah secara berhati-hati sehingga dapat meyakinkan mahkamah bahawa bekas perdana menteri itu tidak bersalah.

Ini kerana hala tuju kes Najib akan bergantung kepada kekuatan bukti yang dikemukakan oleh pasukan pembelaan, kata Abu Talib yang pernah menjadi Peguam Negara selama 13 tahun sehingga 1993.

“Bagi mahkamah, keutamaan tetap pada bukti, bukan sentimen,” katanya seperti dipetik Utusan Online hari ini.

Abu Talib menegaskan bukti mestilah bersifat komprehensif bagi menyanggah hujah daripada pihak pendakwaan.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan ada kes prima facie terhadap Najib yang diarah untuk membela diri atas 21 tuduhan pengubahan wang dan empat pertuduhan salah guna kuasa dana 1MDB bernilai RM2.27 bilion pada 30 Oktober.

Bekas perdana menteri berusia 71 tahun itu sedang menjalani hukuman penjara di Kajang ekoran sabitan terhadap tujuh tuduhan pecah amanah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram pada 2022.

Kes itu melibatkan dana sebanyak RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Pada 24 Okt lalu Najib mengemukakan permohonan maaf terbuka ekoran pembabitannya dalam skandal 1MDB namun mengulangi penegasan bahawa dia tidak bersalah.

Bagi pertuduhan terkait 1MDB ini, Najib berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda.

Abu Talib berkata peluang Najib untuk membebaskan diri akan bermula ketika dia memberikan keterangan bersumpah pada 2 Dis ini.

Usaha tersebut akan bergantung kepada bukti yang akan dibawa sama ada memang benar atau cuma dongeng.

“Ini adalah peluang bagi Najib untuk menyampaikan keterangan dan mempertahankan dirinya jika beliau merasakan ada fakta yang boleh menyokong kedudukannya,” kata Abu Talib.

BACA JUGA: Tuduhan salahguna kedudukan, pengubahan wang haram sah – Hakim