Dahlah guna klip video masjid negeri seteru politik, pemimpin Pas dikecam ‘tunggang’ agama
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dikecam warganet gara-gara disifatkan menunggang agama sambil berkongsikan klip video memaparkan masjid negeri seteru politik.
“Politik tidak boleh dipisahkan daripada hukum hakam agama,” tulis Tuan Ibrahim di platform X.
Dalam masa sama, Ahli Parlimen Kubang Kerian, Kelantan berkenaan turut meninggalkan tanda pagar, “Islam adalah penyelesaian”.
Hantaran pemimpin Perikatan Nasional (PN) itu akhirnya dilihat telah dibanjiri sindiran dan kecaman lantaran apa yang diperkatakan bercanggah dengan realiti Pas pada masa ini.
“Hari-hari menunggang agama. Dah lah buat video guna klip masjid negeri (Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam, Selangor) seteru politik, negeri yang parti kau takkan jadi kerajaan negeri sampai bila-bila. Teruskan bermimpi. Rakyat Selangor tak perlu parti jumud macam Pas,” kecam pengguna X, @icaroose.
Dalam masa sama, ada yang turut mengingatkan tentang keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu tahun lalu membatalkan kemenangan calon Pas di kerusi Parlimen Kemaman dan Kuala Terengganu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
“Dekat Terengganu, dua kerusi Parlimen Pas dibatalkan disebabkan oleh rasuah. Tak payah nak sembang la Brahim,” kata @Nazril_Iznil.
Untuk rekod, pembatalan kemenangan Pas di dua kerusi itu ekoran wujudnya perbuatan rasuah dengan tujuan mempengaruhi pengundi.
Selain itu, pengguna X @mrfirdausjailan secara sinis bersetuju dengan penegasan Tuan Ibrahim berkenaan politik tidak boleh dipisahkan daripada hukum-hakam agama.
“Setuju. Islam menentang keras penyebaran fitnah.
“Ini rekod saman fitnah pemimpin Pas. Nak tanya, Pas guna hukum hakam agama mana?” bidasnya sambil berkongsikan grafik senarai kes saman fitnah membabitkan pemimpin Pas.
BACA JUGA ‘Takkan orang yang sudah disaman fitnah berkali-kali, anda percaya?’
Â