Ini respon terbaru Mat Sabu kepada SPRM selepas NAFAS disiasat
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu mengalu-alukan siasatan yang sedang dilakukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS).
Beliau memberi jaminan akan memberi sepenuh kerjasama berhubung isu kartel kontrak baja padi di bawah kementeriannya yang dianggarkan bernilai RM1.8 bilion.
“Bang Mat mengalu-alukan siasatan oleh SPRM yang kini dijalankan ke atas NAFAS dan memberi jaminan KPKM akan memberi sepenuh kerjasama kepada pihak SPRM untuk melengkapkan siasatan mereka,” katanya dalam satu hantaran di Facebook sebentar tadi.
Hantaran terbuka itu sekaligus memberi isyarat beliau tidak mempunyai kepentingan peribadi dalam isu berkenaan.
Media sebelum ini melaporkan beberapa siri pembongkaran telah dilakukan SPRM di sekitar Kuala Lumpur termasuk di ibu pejabat pertubuhan, kementerian dan sembilan syarikat yang mendapat projek perbekalan baja padi.
Menurut laporan, projek di bawah kementerian itu yang berjumlah RM1.8 bilion dianugerahkan kepada pertubuhan terbabit bagi tempoh 30 bulan bermula 2021 hingga 2023.
Pertubuhan terbabit dipertanggungjawab untuk menghasilkan baja padi dan mengedarkannya kepada pesawah di seluruh negara melalui pejabat pertubuhan di peringkat negeri masing-masing.
Hasil siasatan mendapati pertubuhan itu sudah menggunakan dua kaedah untuk memenuhi kontrak kerajaan iaitu membeli terus baja padi daripada lima syarikat pengeluar dan membeli bahan mentah bagi memproses baja daripada empat syarikat.
Justeru, siasatan SPRM akan menjurus kepada kesalahan rasuah dalam perolehan baja atau bahan mentah daripada syarikat-syarikat terpilih.
BACA JUGA Exco Kelantan kata kerajaan negeri tak pernah haramkan buka panggung wayang tapi…