Dakwaan temui RM94 juta di rumah bekas menteri tak benar, SPRM nafi kenyataan MP Pendang
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan kenyataan yang dikeluarkan Ahli Parlimen Pendang, Awang Hashim di Dewan Rakyat hari ini berkenaan penemuan RM94 juta di kediaman seorang bekas menteri.
Dalam satu kenyataan SPRM berkata, Ketua Pesuruhjaya, Tan Sri Azam Baki tidak pernah membuat sebarang kenyataan seperti didakwa.
Menurut agensi itu, SPRM menghormati hak Ahli Parlimen untuk menyuarakan pandangan mereka secara bebas, namun kenyataan dibuat mesti berasaskan fakta tepat untuk mengelakkan kekeliruan.
“SPRM ingin menegaskan sekali lagi bahawa tiada sebarang kenyataan telah dibuat oleh Suruhanjaya ini mahupun Ketua Pesuruhjaya SPRM berkaitan penemuan jumlah tersebut di kediaman bekas menteri tersebut,” katanya dalam satu kenyataan sebentar tadi.
Terdahulu, Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) itu membuat Dewan gamat selepas mendakwa sejumlah wang ditemukan di kediaman milik bekas menteri dari pemimpin DAP.
Bagaimanapun ketika diminta nama bekas menteri tersebut, Awang tidak mendedahkan sebaliknya mendakwa kenyataan berkaitan penemuan wang itu dibuat oleh Azam Baki sendiri.
“Begitu juga dengan kes RM94 juta yang mana didapati di sebuah rumah menteri DAP dijumpai RM94 juta sampai sekarang kita tidak tahu setakat mana siasatan telah dibuat dalam Kementerian Sumber Manusia,” katanya di Dewan Rakyat.
BACA JUGA Artis wanita Kelantan ditangkap kerana dadah, apa kata Timbalan MB Kelantan?