Felda cipta sejarah lantik wanita jadi Pengarah Besar
Felda mencipta sejarah apabila melantik wanita sebagai Pengarah Besar, bagi menggantikan Datuk Amiruddin Abdul Satar, yang menamatkan perkhidmatannya pada 14 Oktober lalu.
Menerusi kenyataan Felda, pelantikan Datuk Dr Suzana Idayu Wati Osman sebagai wanita pertama memegang jawatan itu bermula hari ini menggambarkan pengiktirafan terhadap peranan wanita dalam menggerakkan pembangunan ekonomi negara.
Menurut Felda, pelantikan itu seiring dengan hasrat kerajaan untuk memperkasakan penyertaan wanita dalam semua sektor sebagai pemaju utama ke arah Malaysia yang progresif dan mampan.
“Suzana mempunyai pengalaman luas dalam industri perladangan sejak menyertai FELDA sebagai Pegawai Tadbir pada 1998 sehingga memegang jawatan sebagai Ketua Jabatan Pelaburan pada 2008.
“Beliau kemudian menyertai FGV Holdings Berhad (FGV) sebagai Timbalan Ketua Eksekutif Kumpulan dan beberapa jawatan penting di FGV sebelum menjadi Ketua Pegawai Pelaburan Perkeso.
“Kepimpinan beliau diperkuatkan dengan pengalaman lebih tiga dekad dalam pelbagai sektor termasuk perbankan, kewangan, pelaburan, dan pengurusan aset institusi. Beliau menganggotai pengurusan kanan dan ahli lembaga pengarah di lebih 35 entiti di dalam dan luar negara,” menurut Felda.
Kenyataan sama memaklumkan Suzana juga pernah menjadi Pengerusi Malaysian Sustainable Palm Oil (MSPO) dan Ahli Lembaga Pengarah FELCRA.
“Sumbangan beliau ketika menjadi Pengerusi MSPO, menyerlahkan komitmennya terhadap industri dan pengurusan lestari. Komitmen ini penting bagi memastikan FELDA memacu agenda kelestarian yang menyokong keseimbangan antara pertumbuhan ekonomi dan kelestarian alam sekitar.
“Beliau adalah Ahli Lembaga Pengarah FELDA dan syarikat-syarikat di bawah Kumpulan FELDA, seperti FGV Holdings, MSM Holdings, dan Encorp Berhad.
“Beliau juga memegang peranan sebagai Pengerusi IIUM Holdings Berhad dan Ahli Lembaga Pengarah di Private Pension Administrator,” katanya.
Dari segi latar pendidikan, Felda memberitahu Suzana memmiliki Doktor Falsafah dan Sarjana dalam Kewangan dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Ijazah dalam Pengajian Perniagaan dari Huddersfield University, UK, serta Advance Management Program dari Harvard Business School, USA.
Sehubungan itu, dengan gabungan kelayakan akademik, pengalaman tempatan dan antarabangsa, serta kepimpinan yang berpandangan strategik, Suzana dijangka memperkasakan lagi strategi dan daya saing Felda,” katanya.
Tambah Felda lagi, menerusi pelantikan itu, Felda yakin bahawa Suzana akan membawa Felda ke arah pencapaian baharu dan memberi impak positif yang berkekalan kepada 112,638 keluarga peneroka serta generasi masa depan mereka di seluruh negara.
BACA JUGA Tunggu giliran masuk pusat hiburan di Golok, ini rupanya aktiviti anak muda Kelantan di hari minggu
Â