Tunggu giliran masuk pusat hiburan di Golok, ini rupanya aktiviti anak muda Kelantan di hari minggu

Rupanya ramai anak muda dari Kelantan termasuk perempuan berkunjung ke Golok di selatan Thailand pada hari minggu sehingga terpaksa menunggu giliran untuk masuk ke pusat hiburan.

Hal itu dimaklumkan sendiri oleh rakan sejawatan Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat.

Menurut Yusoff, kunjungan rakyat Malaysia di kalangan anak muda begitu ramai terutama pada hari Jumaat dan Sabtu untuk berkunjung ke kelab malam sehingga terpaksa menunggu giliran untuk masuk ke pusat hiburan.

Beliau berkata, kebanyakan anak muda dari Kelantan bahkan yang baru berusia belasan tahun berkunjung ke selatan Thailand dengan menggunakan laluan haram.

Jelasnya, kebanyakan mereka akan ke Golok pada petang Khamis sebelum pulang semula ke Kelantan pada Sabtu.

“Mereka akan parkir kenderaan di Rantau Panjang dan memilih laluan haram dengan menyeberangi Sungai Golok untuk ke Thailand berbanding menggunakan laluan sah Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS).

“Isu ini juga baru dibincangkan dengan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud berhubung kunjungan anak muda dari Kelantan ke kelab malam di Golok.

“Hari biasa pun ramai, namun hari minggu lagi ramai.

“Bayangkan sehingga mereka terpaksa menunggu ‘shift’ untuk masuk ke kelab malam di Golok, Thailand,” katanya, lapor BH.

Pada 1 November lalu, enam rakyat Malaysia termasuk seorang penyanyi wanita ditahan di sebuah hotel di Sungai Golok, Thailand kerana dipercayai memiliki dadah jenis pil kuda.

Mereka yang berusia 25 hingga 32 tahun ditahan jam 6 pagi (waktu Malaysia) di sebuah bilik selepas selesai berhibur.

Keenam-enam mereka kemudian disahkan positif dadah jenis methampetamine.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat dilapor berkata, dua daripada mereka mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan memiliki dadah di Kelantan.

BACA JUGA Mimpi Hadi Awang mungkin peringatan damaikan dulu UMNO dan Pas

Â