Ini status kutipan sumbangan hargai jasa Peguam Negara

Selepas tular diperkatakan di media sosial, kutipan sumbangan bagi menghargai jasa Peguam Negara, Tan Sri Ahmad Terrirudin Mohd Salleh akhirnya telah dihentikan.

Menurut Jabatan Peguam Negara (AGC), Peguam Negara sendiri meminta supaya hasrat sempena persaraan Ahmad Terrirudin pada 11 November depan itu tidak diteruskan.

“Walaupun tujuan kutipan sumbangan ini berniat murni, Peguam Negara meminta supaya hasrat ini tidak diteruskan,” menurut kenyataan itu.

Ia susulan isu kutipan sumbangan daripada Timbalan Pendakwa Raya bagi menghargai jasa Peguam Negara.

Terdahulu, heboh di media sosial dan platform Telegram bahawa jabatan terbabit diminta memberikan sumbangan wang untuk membeli hadiah sempena persaraan Ahmad Terrirudin.

Sumbangan itu dikatakan bagi mengambil kira banyak jasa dan usaha Ahmad Terrirudin kepada bahagian pendakwaan.

Jumlah kutipan sumbangan itu adalah mengikut gred iaitu Turus (RM500); Jawatan Utama Sektor Awam (JUSA) A (RM400); B (RM300) dan C (RM200), manakala L44 (RM30) serta L41 (RM20).

Sumbangan itu juga dilapor bagi meraikan Ahmad Terrirudin, 56, yang bakal dilantik sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan.

Ahmad Terrirudin dilantik sebagai Peguam Negara berkuat kuasa 6 September 2023.

Beliau ketika itu menggantikan Tan Sri Idrus Harun yang tamat tempoh lantikan secara kontrak pada 5 September 2023.

BACA JUGA Tunggu giliran masuk pusat hiburan di Golok, ini rupanya aktiviti anak muda Kelantan di hari minggu

Â