Lebih 30 terkorban, hospital terakhir di utara Gaza berterusan diserang pengganas
Pengganas Israel telah menggempur Semenanjung Gaza dengan membunuh berpuluh-puluh rakyat Palestin terutamanya di utara.
Tentera rejim itu sekali lagi menyerang Hospital Kamal Adwan iaitu hospital terakhir yang berfungsi separa di wilayah itu.
Lapor Al Jazeera sebentar tadi, sekurang-kurangnya 33 orang terbunuh dalam serangan udara di seluruh kawasan itu.
Ia termasuk 20 orang di bandar utara Beit Lahiya, empat di Bandar Gaza, enam di kawasan tengah dan tiga di selatan Khan Younis, menurut Al Jazeera dan agensi berita Wafa.
Dalam serangan di Hospital Kamal Adwan, jet Israel dan dron menyasarkan wad kanak-kanak mengakibatkan pegawai perubatan dan pesakit cedera.
Menurut pengarah kejururawatan, Eid Sabbah, tingkat atas hospital tersebut rosak manakala beberapa kanak-kanak dan bayi yang baru lahir cedera akibat serangan ganas itu.
“Wartawan, jururawat dan kakitangan perubatan lain turut cedera,” kata Eid Sabbah kepada Al Jazeera melalui telefon.
Pegawai itu menambah serangan itu adalah hari kedua Hospital Kamal Adwan diserang Israel.
Terdahulu, Kementerian Kesihatan di Gaza memaklumkan tentera Israel ‘berterusan melancarkan serangan dengan ganas dan memusnahkan Hospital Kamal Adwan.’
Pengarah hospital itu, Hossam Abu Safieh, menyifatkan keadaan terbabit sebagai ‘malapetaka’ yang menyaksikan beberapa petugasnya turut mengalami kecederaan.
“Kami tidak faham tujuan di sebalik pengeboman itu yang menyasarkan hospital,” katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, enam pesakit kanak-kanak cedera akibat serangan pengganas Israel ke atas Hospital Kamal Adwan yang disifatkan sebagai ‘mengerikan’, kata Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Tedros Adhanom Ghebreyesus.
BACA JUGA Ini rupanya FashionValet ‘pancing’ pelabur awalnya