Mimpi Hadi Awang mungkin peringatan damaikan dulu UMNO dan Pas

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi mempersoal motif Tan Sri Abdul Hadi Awang yang membuka cerita bertemu dengan Rasulullah SAW.

Beliau bertanya apakah Abdul Hadi mahu ahli Pas dan orang ramai taksub kepada dirinya kerana terpilih untuk berjumpa Nabi Muhammad SAW.

“Betullah kata Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari, kenapa kalut Haji Hadi bermimpi jumpa Rasulullah?

“Soalnya kenapa selepas 10 tahun baru mahu cerita mimpi jumpa Rasulullah suruh damaikan Sunni dan Syiah?

“Apa motif? Apakah Hadi mahu ahli Pas dan orang ramai lebih “taksub” kepada dirinya? Sekadar bertanya, bukan kalut,” katanya di Facebook.

Pada masa sama Puad bertanya apa usaha Abdul Hadi melaksanakan mimpi yang baik itu iaitu usaha mendamaikan sunni syiah.

Beliau mentafsir mungkin mimpi tersebut adalah peringatan untuk Presiden Pas mendamaikan dahulu Umno dan Pas, dan tidak lagi bermain politik.

“Bukan mudah damaikan Sunni dan Syiah sedunia. Sudah mula ke belum? 10 tahun telah berlalu.

“Mungkin mimpi itu peringatan kepada Hj Hadi damaikan dulu UMNO dan Pas. Jangan main politik. Sertai Kerajaan Perpaduan,” ujarnya.

BACA JUGA Pas kecoh kongsi video beri duit di celah jari penari Sabah