Ringgit kukuh, ekonomi dijangka berkembang hingga 5.3 peratus – Amir

Nilai ringgit ketika ini masih kukuh walaupun terdapat pelbagai perkembangan dan penyesuaian pasaran baru-baru ini.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, setakat 4 November 2024, ringgit telah mengukuh sebanyak 5.03 peratus berbanding Dolar Amerika Syarikat.

Pada masa sama ringgit juga telah mengukuh berbanding mata wang serantau sebanyak 13.3 peratus berbanding yen; 12.2 peratus berbanding won ; 7.5 peratus berbanding rupiah; dan 3.7 peratus berbanding baht.

“Dari segi perkembangan global, perubahan jangkaan kadar dasar monetari yang lebih rendah di ekonomi utama global khususnya di Amerika Syarikat telah menyumbang kepada pengukuhan ringgit.

“Faktor global seperti pergolakan geopolitik Timur Tengah dan pilihan raya di AS turut menyumbang kepada turun naik pasaran kewangan global termasuk ringgit dan mata wang negara yang pesat membangun,” katanya di Dewan Rakyat hari ini ketika menjawab soalan Lim Guan Eng (PH-Bagan).

Amir berkata, selain perkembangan luaran, ekonomi Malaysia juga sedang berkembang dengan baik di mana setakat suku ketiga 2024, ekonomi Malaysia berkembang secara purata sebanyak 5.1 peratus.

Ini termasuk anggaran awal Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) bagi suku ketiga sebanyak 5.3 peratus

Beliau berkata, ekonomi negara dijangka mencatat perkembangan antara 4.8 peratus hingga 5.3 peratus untuk keseluruhan 2024.

“Inflasi masih rendah dan terkawal pada 1.8 peratus pada September 2024. Jumlah pelaburan langsung asing (FDI) yang telah diluluskan separuh tahun pertama adalah sebanyak RM160 bilion berbanding 136 bilion pada 2023 dalam tempoh sama.

“Prospek positif ekonomi Malaysia ini termasuk komitmen kuat kerajaan dalam melaksanakan dasar-dasar di bawah kerangka Ekonomi MADANI akan memberi sokongan berterusan kepada ringgit,” katanya lagi.

Tambah beliau, matlamat kerajaan adalah untuk memastikan bahawa ringgit didagangkan dalam keadaan teratur dan oleh demikian Bank Negara Malaysia sentiasa mengambil langkah dalam pasaran pertukaran asing untuk membendung pergerakan mata wang yang dianggap berlebihan.

BACA JUGA Tunggu giliran masuk pusat hiburan di Golok, ini rupanya aktiviti anak muda Kelantan di hari minggu

Â