Ini sebabnya Saifuddin seru hentikan dakwaan 1.2 juta rakyat China tidak keluar dari Malaysia
Kerajaan hari ini merungkaikan dakwaan kononnya 1.2 juta pelancong rakyat China masuk ke Malaysia dan tidak keluar semula.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, jumlah pelancong China dengan pas lawatan sosial yang masih berada dalam negara ini adalah seramai 84,817 orang.
Jelasnya, jumlah ketibaan pelancong China bagi tempoh 1 Januari 2018 hingga 30 November lalu adalah seramai 8,491,653 orang dan pelepasan keluar 8,012,294 orang.
Beliau berkata, baki 479,359 orang tidak keluar dari Malaysia merangkumi individu dengan pas jangka panjang seramai 129,005, diusir atas kesalahan di bawah akta tertentu seramai 5,359 dan permohonan pas khas berjumlah 141,783 selain individu yang berada dalam Depoh Tahanan Jabatan Imigresen Malaysia.
“Jadi, jumlah individu dengan pas lawatan sosial yang belum keluar (dari Malaysia) adalah 84,817 daripada sejumlah 8,491,653 jumlah ketibaan.
“Jadi, kita hentikanlah dakwaan 1.2 juta ini tak keluar ini, dakwaan KDN luluskan warganegara secara borong…itu fitnah yang sangat dahsyat…lebih baik hentikanlah,” jelasnya.
Saifuddin berkata demikian ketika menggulung perbahasan peringkat dasar Rang Undang-Undang Perbekalan 2025 (Belanjawan 2025) di Dewan Rakyat, hari ini.
Menurutnya, Malaysia menggunakan kaedah kad ketibaan digital yang membolehkan penguat kuasa negara mengesan pelancong yang tinggal melebihi tempoh dan bertindak menyerahkan senarai nama mereka kepada kedutaan negara berkenaan.
Beliau berkata, isu tersebut turut dibincangkan dengan rakan sejawatnya ketika lawatan ke China sebelum ini.
“Apabila saya melawat China, saya sampaikan masalah ini. Menteri sejawatan saya beritahu, rakyat dia kalau keluar sekalipun langgar undang-undang negara yang dia pergi, masih boleh dikenakan tindakan dan tindakan kita adalah senarai hitam,” katanya.
Dalam masa sama, beliau turut menafikan dakwaan sejumlah 1.2 juta warga China tersebut diberikan kerakyatan Malaysia dan menjelaskan bilangan warganegara republik itu yang diberikan kewarganegaraan mengikut peruntukan Perkara 15(1) Perlembagaan Persekutuan ialah 103 orang sejak 2013.
Katanya, pemberian kerakyatan kepada warga China melibatkan kategori suami warga asing yang berkahwin dengan wanita orang tempatan dan isteri warga asing berkahwin dengan suami warga tempatan.
“Ini hiruk-pikuk kat luar ni (tuduh) bagi warganegara secara borong… main sentimen.
“Sebab itu bila laporan dibuat mainkan sentimen itu, kita tahu…saya ada sejumlah rekod laporan polis.
“Pemimpin mana yang memainkan isu ini di luar dalam masjid, dalam surau. Sebab itu polis buka siasatan di bawah 3R (raja, bangsa, agama)…tanpa tanggungjawab main sentimen sebab (berkaitan) China. Sekarang biar data berbicara,” kata Saifuddin lagi.
BACA JUGA Saifuddin tempelak Hadi seminit pun tak pernah masuk penjara
Â