Kemenangan Donald Trump: PM Anwar ulang pendirian mengenai Gaza

Datuk Seri Anwar Ibrahim mengulangi pendirian mengenai pentingnya menghentikan genosid ke atas Gaza ketika memperkatakan kemenangan Donald Trump dalam Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat (AS).

Perdana Menteri berkata, beliau berharap sesuatu yang baik dapat dicapai daripada kemenangan calon Republikan berkenaan yang meraih lebih daripada 270 undi elektoral college, menewaskan Kamala Harris.

Menurut Anwar, keadaan tersebut termasuk hubungan dua hala, perdagangan, geopolitik dunia serta nasib rakyat Gaza.

“Kita akan sambut baik kalau sikap Amerika sikapnya positif termasuk jalan ke arah kedamaian bagi menghentikan serangan ganas ke atas Gaza.

“Mengiktiraf hak mutlak dan sahih rakyat Palestin dan juga cari kaedah pendamaian dalam konflik Ukraine dan ini akan membantu penyelesaian ekonomi,” kata beliau.

Anwar berkata demikian dalam sidang akhbar di Beijing sempena hari terakhir lawatan kerjanya di China, hari ini.

Beliau menambah, keputusan yang dibuat oleh rakyat AS harus dihargai dan ia adalah amalan sistem demokrasi.

Sehubungan itu, Anwar menzahirkan ucapan tahniah ke atas kemenangan Trump, yang merupakan calon Republikan.

Trump menang pilihan raya Presiden AS apabila berjaya melepasi majoriti 270 undi elektoral yang diperlukan untuk memenangi jawatan itu.

Bekas presiden itu akan mengangkat sumpah sebagai Presiden pada Januari 2025 dan akan berkhidmat selama empat tahun dalam penggal keduanya.

Dia sebelum ini menggemparkan dunia apabila pertama kali memenangi jawatan Presiden pada 2016.

Bapa kepada lima anak berkenaan terselamat daripada dua cubaan bunuh iaitu di Pennsylvania pada Julai lalu dan dua bulan kemudian di Florida.

BACA JUGA Apa dah jadi dengan suami Vivy?