Benarkah ubat generik boleh mudaratkan pesakit?
Strategi Dasar Ubat Generik dibawah Dasar Ubat Nasional sejak 2006 menggalakkan penggunaan ubatan generik dalam sektor kesihatan awam dan swasta, kata Kementerian Kesihatan (KKM) dalam satu kenyataan.
“Ini kerana kerajaan mahu memastikan rakyat Malaysia sentiasa mendapat akses ubat-ubatan penting.
“Penggunaan ubat-ubatan generik bertujuan untuk memperkukuh akses kepada ubat-ubatan pada harga berpatutan dan mampu dimiliki dengan mengekalkan kualiti, keselamatan dan keberkesanannya.”
KKM berkata demikian ekoran dakwaan sebuah persatuan dan laporan dalam talian bahawa penggunaan ubat generik mampu memudaratkan pesakit.
Kementerian tersebut turut memberi jaminan bahawa ubat generik turut memenuhi piawaian yang ditetapkan seperti ubatan lain.
“Semua ubat termasuk ubat generik perlu mematuhi piawaian yang ditetapkan oleh Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) Malaysia.
“Ujian kesetaraan-bio (bioequivalence study) adalah salah satu syarat bagi tujuan pendaftaran ubat generik, yang dijalankan bagi membuktikan bahawa ubat generik mempunyai jumlah bahan aktif, kadar peresapan dalam badan dan tahap kandungan dalam darah mengikut tempoh yang sama seperti ubat innovator dengan pengambilan dos yang sama.
“Mekanisme ini adalah penting bagi memastikan kesan terapeutik ubat generik itu adalah sama dengan ubat innovator, seterusnya membuktikan bahawa ubat generik yang diluluskan oleh PBKD mempunyai tahap keselamatan dan keberkesanan yang setara.”
Selain itu,ubatan yang diluluskan dipantau di pasaran secara berterusan. Penilaian dan pemeriksaan berkala dibuat oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).
“Keutamaan diberikan kepada penggunaan ubat-ubatan yang memberikan hasil terbaik pada kos yang paling berpatutan.
“Ubat generik boleh menjadi pilihan yang hemat belanja (cost-effective) dan berkualiti tinggi.
“KKM menjamin bahawa penggunaan ubat-ubatan generik adalah selamat, berkesan, dan memberikan natijah terbaik berdasarkan penilaian teliti oleh pengamal perubatan yang bertauliah tentang keperluan klinikal pesakit.
“KKM tidak akan sekali-kali berkompromi dalam soal kualiti, keselamatan dan kesihatan pesakit semata-mata untuk mengurangkan kos rawatan termasuk untuk ubat-ubatan.
“KKM juga memandang serius kenyataan-kenyataan tidak berasas serta tidak bertanggungjawab oleh segelintir pihak yang membangkitkan kegusaran pesakit, sama ada di fasiliti KKM ataupun swasta, supaya menolak sesuatu regimen rawatan atas kebimbangan mereka terhadap penggunaan ubat generik.”
BACA JUGA: SPRM diharap siasat betul-betul ‘peleburan’ Fashion Valet
Â