Demam denggi sudah ragut 102 nyawa, situasi terbaharu ini wajib anda ambil tahu
Kes penyakit demam denggi menurun kepada 1,346 kes pada Minggu Epidemiologi (ME) 44 bagi tempoh 27 Oktober hingga 2 November lalu.
Berbanding minggu sebelumnya, sebanyak 1,521 kes demam denggi direkodkan.
Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan, kes kematian akibat komplikasi demam denggi turut menurun kepada satu kematian berbanding dua kematian pada minggu sebelumnya.
“Secara kumulatif, jumlah kes demam denggi sehingga ini sebanyak 111,250 kes dengan 102 kematian, berbanding 100,936 kes dan 78 kematian untuk tempoh yang sama pada 2023,” katanya menurut kenyataan hari ini.
Beliau juga memaklumkan, terdapat 27 lokaliti aktif hotspot yang dilaporkan pada ME 44 berbanding minggu sebelumnya.
Jelasnya, 14 daripada lokaliti aktif itu di Selangor, empat masing-masing di Negeri Sembilan dan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, dua di Perak dan satu masing-masing di Sabah, Pulau Pinang dan Kelantan.
Walaupun terdapat penurunan kes denggi ketika ini, beliau menasihatkan masyarakat tidak boleh leka.
Hal ini memandangkan Jabatan Meteorologi Malaysia mengeluarkan makluman mengenai Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka bermula awal November 2024 hingga Mac 2025.
“Semasa MTL, negara dijangka mengalami peningkatan hujan yang berpotensi meningkatkan banyak kawasan air bertakung yang sesuai untuk pembiakan nyamuk Aedes,” katanya.
Tambahnya, adalah penting bagi pihak masyarakat untuk sentiasa melakukan langkah pencegahan seperti membersihkan kawasan sekitar dan memastikan tiada bekas atau kawasan air bertakung.
BACA JUGA Anwar tak dapat jumpa Presiden China, dakwa Papagomo selepas pernah rayu bayar RM100 sebulan
Â