Kemenangan bersejarah buat Malaysia, tuntutan US$15 bilion tidak diiktiraf

Keputusan Mahkamah Agung Perancis menolak sepenuhnya cabaran perundangan difailkan oleh kumpulan yang mendakwa waris Kesultanan Sulu merupakan kemenangan bersejarah buat Malaysia.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, keputusan penting itu bermakna asas awal yang membawa kepada Award Akhir iaitu Malaysia perlu membayar pampasan kira-kira US$15 bilion tidak diiktiraf di bawah undang-undang Perancis.

“Prosiding di Mahkamah Rayuan Paris akan diteruskan dalam masa terdekat untuk membatalkan Award Akhir yang dikeluarkan oleh Dr (Gonzalo) Stampa dan menyelesaikan isu itu secara muktamad dengan keputusan yang memihak kepada rakyat Malaysia,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Beliau menyifatkan keputusan tersebut sebagai kejayaan amat bermakna bagi kedaulatan undang-undang yang akan membantu memelihara kesucian proses timbang tara antarabangsa sebagai satu alternatif dalam penyelesaian pertikaian.

Dalam masa sama, Azalina turut mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim atas sokongan dan kepercayaan beliau yang tidak berbelah bahagi terhadap usaha berterusan untuk menegakkan pendirian Malaysia.

BACA JUGA Kemenangan bersejarah buat Malaysia, tuntutan US$15 bilion tidak diiktiraf

Â