Kes tekap seterika di UPNM: Ibu bapa tertuduh rupanya pesara kerajaan

Tertuduh kes tekap seterika pada tubuh seorang pelatih junior Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) sehingga mangsa mengalami kecederaan lecur tahap kedua, memohon jaminan lebih rendah dengan alasan ibu bapanya adalah pesara kerajaan dan dia sendiri masih belajar.

Amirul Iskandar Ahmad Norhanizan, 22, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Egusra Ali di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini.

Pegawai Kadet Akademi Latihan Ketenteraan (ALK) UPNM berkenaan didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Muhammad Salman Mohd Saiful Surash, 20, menggunakan seterika wap panas pada jam 11.45 malam di ALK UPNM di Kem Sungai Besi di ibu negara.

Pertuduhan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan, Amirul Iskandar berdepan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau dengan denda atau sebatan, atau mana-mana daripada dua hukuman terbabit.

Dada sebelah kanan mangsa melecur tahap kedua akibat ditekap seterika oleh tertuduh.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Sabri Othman menawarkan jaminan RM30,000 dengan seorang penjamin berikutan jenis dan keseriusan kesalahan yang didakwa.

“Mangsa mengalami kecederaan lecur tahap kedua (second degree burns) di bahagian kanan dada.

“Selain itu, perbicaraan kes ini bakal membabitkan saksi rakan seasrama, jurulatih dan kes berkepentingan awam akan menjadi panduan kepada pelajar lain iaitu kesalahan membuli, bukan sahaja hukuman tetapi ikat jamin juga tinggi supaya peruntukan undang-undang ini tidak dipandang rendah sebagai peruntukan kesalahan ‘non bailable offence’,” katanya.

Dalam masa sama, beliau turut memohon arahan tambahan supaya tertuduh yang hadir berkemeja putih dan bergari itu tidak mendekati saksi-saksi kes.

Mahkamah kemudian membenarkan jumlah jaminan ke atas tertuduh sebanyak RM20,000 dengan dua penjamin dan menetapkan 27 Disember untuk sebutan semula kes.

Ibu dan bapa tertuduh hadir untuk membayar jaminan.

Untuk rekod, mangsa yang mengalami kecederaan melecur akibat ditekap seterika oleh tertuduh pada 22 Oktober hanya membuat laporan polis pada 1 November lalu.

Mangsa mendakwa didatangi pegawai senior yang juga suspek sebelum mangsa diminta menggosok baju miliknya.

Amirul didakwa secara mengejut merampas seterika yang dipegang pengadu sebelum menekap bahagian dada sebelah kanan sebanyak satu kali.

BACA JUGA Anwar tak dapat jumpa Presiden China, dakwa Papagomo selepas pernah rayu bayar RM100 sebulan

Â