Pelantikan Zainal diyakini mampu bantu LPP laksana reformasi di NAFAS

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu mengumumkan pelantikan bekas Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Tan Sri Zainal Rahim Seman sebagai Pengerusi Majlis Penasihat Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) yang baharu.

Mohamad berkata, pengalaman luas Zainal Rahim sebagai bekas KPPA dan juga Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia (SPA) akan mampu membantu LPP untuk melakukan reformasi dan tatakelola di NAFAS.

Menerusi kenyataan disiarkan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), turut dilantik ialah Datuk Hadzir Md Zain, Datuk Nozir Ahmad Hussain dan Nik Mohd Shaharil Nik Md Hashim sebagai Ahli Majlis Penasihat NAFAS.

Bagi pentadbir NAFAS pula adalah Mohd Faizal Mohd Jakir sebagai Ketua Pentadbir NAFAS serta Hyder Jaleel Gafoor Abdul Rasheed, Muhammad Azzrinie Shafie, Mohd Shafaizzuan Asfa Asaari sebagai pentadbir.

Terdahulu, Ketua Pengarah, Amir Matamin selaku Pendaftar Pertubuhan Peladang di bawah Seksyen 20 (1) Akta Pertubuhan Peladang 1973 (Akta 109) membuat satu perintah penggantungan NAFAS berkuat kuasa pada 1 November lalu.

“Majlis Penasihat NAFAS akan berfungsi untuk menasihati Pendaftar dalam membuat keputusan sekiranya wujud perkara-perkara yang dirujuk oleh Pentabdir kepada Pendaftar berhubung masalah harian di NAFAS bagi memastikan fungsi NAFAS berjalan dengan cekap tanpa gangguan dari segi operasi perniagaan dan perkhidmatan.

“Adalah menjadi harapan agar segala pemulihan NAFAS dapat dilaksanakan dengan baik dan teratur demi kepentingan 605,552 ahli peladang di seluruh negara,” menurut kenyataan dikeluarkan Bahagian Hal Ehwal Korporat LPP itu lagi.

BACA JUGA Anwar tak dapat jumpa Presiden China, dakwa Papagomo selepas pernah rayu bayar RM100 sebulan

Â